Pekerja Muzium British dipecat kerana barangan berharga hilang
Agensi
Ogos 16, 2023 07:15 MYT
Ogos 16, 2023 07:15 MYT
LONDON: Pengurusan Muzium British di London bertindak memecat seorang kakitangannya selepas sejumlah koleksi barangan berharga dilaporkan "hilang, dicuri atau rosak."
Pihak berkuasa juga dilaporkan sedang menyiasat kehilangan itu, lapor portal berita BBC.
Antara koleksi berharga termasuk barang kemas, perhiasan dan batu permata merupakan antara yang dilaporkan hilang dari muzium tersebut, iaitu salah satu tarikan pelancong terbesar di United Kingdom.
Sebilangan besar barangan berharga itu disimpan di dalam stor, kata muzium berkenaan.
Serentak itu, Pengarah Muzium British, Hartwig Fischer berkata, pengurusan muzium akan "melancarkan usaha untuk mengembalikan semula objek-objek tersebut."
Menurut Fischer: "Ini adalah satu insiden luar biasa. Bagi pihak semua rakan sekerja, apabila saya katakan kami mengambil berat mengenai menjaga semua barangan yang berada di bawah jagaan kami dengan serius.
"Kami telah meningkatkan kawalan keselamatan dan sedang bekerjasama dengan pakar luar untuk mengenal pasti apa yang hilang, rosak, dan dicuri."
Tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap ahli kakitangan yang telah dipecat, tambah muzium tersebut.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Jenayah Ekonomi Polis Metropolitan juga sedang giat melakukan penyiasatan, namun, tiada penahanan dibuat.
Muzium British tidak ketinggalan telah memulakan semakan keselamatan pemis berkenaan.
Tiada sebarang objek hilang itu yang dipercayai peninggalan dari abad ke-15 hingga ke-19 dipamerkan baru-baru ini, sebaliknya, ia disimpan terutamanya untuk tujuan akademik dan penyelidikan, kata muzium tersebut. - Agensi