Pekerja kumpul tulang di India diancam penduduk kampung

Agensi
April 13, 2018 18:31 MYT
Paparan skrin laporan BBC News tentang isu berkenaan.
Pekerja pengumpul tulang dari bangkai haiwan di Uttar Pradesh, India kini berada dalam ambang ketakutan berikutan larangan pemerintah negara tersebut terhadap penyembelihan sapi pada 2017.
Perkara ini didedahkan seorang jurugambar bebas Ankit Srinivas dari Allahabad di negeri tersebut baru-baru ini.
Salah seorang pekerja, Brijwasi Lal, 55 tahun, mengaku sentiasa berasa takut setiap kali keluar bekerja ekoran persepsi negatif masyarakat yang menganggap golongan ini sebagai pekerja dari pusat penyembelihan setiap kali memandang mereka.
"Apabila orang melihat kami membawa tulang, mereka menganggap kami bekerja untuk pusat penyembelihan," kata Brijwasi dipetik BBC News.
Menurut laporan itu, Brijwasi merupakan salah seorang daripada beribu-ribu kaum Dalit (kasta terendah India) di negara itu yang menyara keluarga melalui hasil titik peluh menjual tulang dari bangkai haiwan.
Sepanjang tahun lalu, beberapa orang pekerja melaporkan mereka diserang atas dakwaan penyeludupan sapi untuk disembelih, bahkan Brijwasi turut berkata dia telah diancam beberapa kali.
Pihak berkuasa di Uttar Pradesh telah menutup sebilangan pusat penyembelihan selepas nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP) memenangi pilihan raya India pada Mac 2017.
Parti berkenaan percaya bahawa haiwan ini harus dilindungi kerana dianggap suci oleh penduduk negeri itu yang majoritinya beragama Hindu. Namun berjuta-juta bangsa India termasuk Dalit, Muslim dan Kristian memakan daging haiwan tersebut.
Pekerja-pekerja mengumpul tulang yang dipercayai majoritinya daripada kaum Dalit ini bertumpu di sekitar kawasan bandar Allahabad, Kanpur dan Gonda berhampiran dengan kilang-kilang yang membeli tulang dan menghancurkannya menjadi serbuk, yang kemudiannya diproses untuk dijadikan pelbagai jenis bahan kimia.
"Ia bukan pekerjaan yang terhormat, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu memberi makan keluarga saya.
"Kami perlu berhati-hati dan itulah sebabnya kami mula bekerja awal dalam gelap dan menyelesaikannya sebelum jam 10 pagi.
“Kami adalah Dalit, jadi kami tidak dihormati oleh kebanyakan orang," luah Brijwasi.
Sugreev, salah seorang pekerja yang tidak ingin mendedahkan nama terakhirnya, berkata kerja itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
"Anda tidak dapat membayangkan bau daging yang busuk, mereka berfikir bahawa kami sudah biasa tetapi sebenarnya tidak, ini hanya kerana kami tidak mempunyai pilihan lain," ujarnya.
Dia turut berkata mereka memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat kerana sanggup mengambil bangkai haiwan dari tengah padang mahupun di dalam rumah orang.
Pekerja-pekerja ini bagaimanapun menyatakan rasa sedih dan kecewa terhadap tanggapan negatif oleh masyarakat dan berharap agar mereka dihormati atas kerja yang dilakukan.
#India #Jurugambar #kasta dalit #larangan #pemerintah #pengumpul tulang #sapi #Uttar Pradesh
;