Pekerja kilang sosej maut tersangkut dalam mesin campur daging

Agensi
Jun 25, 2019 08:21 MYT
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian merupakan satu kemalangan. - Gambar hiasan
Seorang pekerja kilang sosej di Filipina maut selepas badannya tersangkut dalam mesin mencampur daging.
Jomar Junco,18 tahun, baru bekerja selama dua minggu di kilang sosej terbabit yang terletak di bandar Iloilo sebelum menemui ajal Sabtu lalu.
Dalam kejadian ngeri kira-kira jam 7.30 pagi itu, tangan kanan remaja tersebut dipercayai tersangkut yang menyebabkan badannya terseret ke dalam mesin.
Laporan media Filipina menyebut, Junco tidak tahu cara mengendalikan mesin berkenaan, ia sepatutnya dikendalikan seorang lagi rakan sekerjanya yang lebih berpengalaman bernama Carl David Carlos.
Kemalangan dikatakan berlaku ketika Carlos tidak berada di tempatnya dan Junco cuba untuk mengendalikan mesin itu sendiri.
Sekembalinya Carlos ke stesen kerjanya, dia terlihat kaki Junco terkeluar daripada mesin, dia bergegas menutup mesin terbabit namun gagal untuk menyelamatkan mangsa.
Sementara itu, pemilik kilang tersebut Jasielor Jaleco berkata, Junco hanya ditugaskan membungkus produk yang telah siap dan tidak sepatutnya mengendalikan sebarang mesin.
Pihak polis yang dipanggil berjaya mengeluarkan mayat mangsa yang masih bercantum daripada mesin terbabit.
Menurut Mejar Polis, Mark Evan Salvo, mayat mangsa tidak hancur sebaliknya hanya tersangkut.
Siasatan berhubung kematian Junco kini sedang dijalankan namun dipercayai ia merupakan satu kemalangan.
#kemalangan #maut #mesin mencampur daging #pekerja kilang #sosej
;