Pekerja kantin di Idaho dipecat kerana beri makanan percuma kepada pelajar

Syafique Shuib
Disember 25, 2015 20:09 MYT
Dalene Bowden dipecat kerana memberikan makanan secara percuma kepada seorang murid yang tidak mempunyai wang untuk membayar makanan berharga RM7.30. - Gambar: Facebook/Give Dalene Bowden Her Job Back
SATU petisyen atas talian secara tidak langsung membantu seorang pekerja kantin di Amerika Syarikat mendapatkan pekerjaannya kembali.
Ini kerana Dalene Bowden yang bekerja di sebuah sekolah di Idaho dipecat minggu lepas kerana memberikan makanan secara percuma kepada seorang pelajar yang dikatakan tidak mempunyai duit untuk membayar makanan berharga USD$1.70 (RM7.30).
Idaho State Journal melaporkan, kisah Bowden mendapat perhatian netizen dan sekaligus memulakan kempen agar dia diberikan pekerjaannya semula.
Ketika ini, laman Facebook 'Give Dalene Bowden her job back’ telah menarik perhatian lebih 7,511 pengikut.
Selain itu, satu pengumpulan dana dalam talian sehingga kini berjaya mengumpul sebanyak $12,300 (RM52,803.29) untuk membantu membiayai Bowden mengambil tindakan terhadap pihak sekolah itu.
Susulan itu, pihak sekolah telah membuat pengumuman untuk memberikan semula pekerjaannya.
Namun, Bowden belum membuat keputusan kerana masih ragu-ragu dengan tindakan itu.
“Saya takut jika mereka akan cuba membuat hidup saya sengsara atau cuba untuk menyingkir saya dengan cara lain,” kata Bowden kepada Idaho State Journal.
Menurut Idaho State Journal, kejadian berlaku minggu lepas dimana Bowden sendiri mahu membayar bagi pihak murid berkenaan namun penyelianya enggan menerima wang itu, memaksa dirinya memberikannya secara percuma.
Pemecatan Bowden dibuat melalui satu surat berdaftar yang memberitahu bahawa dipecat kerana “mencuri hak sekolah”.
Bowden dilaporkan berkata, dia tidak menyesal dengan keputusan memberikan makanan secara percuma kepada murid itu.
“Apa yang sepatutnya anda lakukan jika seorang murid berkata mereka lapar dan tidak mempunyai duit? (Mengikut peraturan) saya sepatutnya mengambil dulang daripada murid itu tetapi saya tidak boleh berbuat demikian,” kata Bowden.
#Dalene Bowden #dipecat #pekerja kantin
;