Pekerja bukan sekadar perlu kenaikan gaji...

Ashwad Ismail
Januari 23, 2019 10:29 MYT
Profesor Guy Standing terkenal dengan idea-idea besar melalui buku-bukunya yang meneroka solusi mengharmonikan dasar-dasar serta pendekatan terhadap pembangunan agar lebih adil dan saksama. Astro AWANI/ASHWAD ISMAIL
Sistem perlindungan sosial dan model jaringan keselamatan sosial yang diguna pakai di kebanyakan negara perlu dikaji semula.
Menurut pakar pengajian pembangunan dari Universiti of London, Profesor Guy Standing, negara memerlukan sistem yang sedemikian selain mewujudkan satu skim gaji pokok yang kukuh.
Hujahnya, sistem perlindungan sosial yang dipraktikkan ketika ini tidak menyelesaikan rasa resah golongan pekerja untuk menempuh fasa ketidaktentuan ekonomi seperti yang dihadapi dunia ketika ini.
“Kita perlu cari jalan baharu untuk membentuk semula asas sistem perlindungan sosial, terutama bagi golongan pekerja, merentasi pelbagai latar,” kata Standing ketika ditemubual Astro AWANI ketika berlangsungnya Forum Ekonomi Sedunia (WEF) 2019 di sini.
Malah, tambahnya, Malaysia juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah yang sama.
“Kita berada di kurun ke-21 dengan kemajuan teknologi yang memberangsangkan, tidak ada alasan untuk semua sektor daripada kerajaan sehingga korporat mengubah sistem perlindungan sosial.
“Sang penguasa serta kerajaan di dunia ini perlu ada pemikiran dan prinsip bahawa setiap orang di dalam negara perlu ada pendapatan dan rangka polisi dan program berkaitnya,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya asas pendapatan yang kukuh, kehidupan rakyat akan dapat diperbaiki dari segenap aspek, termasuk pemakanan, kesihatan dan kegiatan ekonomi.
Standing terkenal dengan idea-idea besar melalui buku-bukunya yang meneroka solusi mengharmonikan dasar-dasar serta pendekatan terhadap pembangunan agar lebih adil dan saksama.
Antara hasil tulisannya yang mendapat perhatian ialah Basic Income: And How We Can Make It Happen dan The Corruption of Capitalism: Why Rentiers Thrive and Work Does Not Pay.
Nama beliau juga tidak asing bagi komuniti pemikir ekonomi Malaysia era 80-an. Beliau pernah bekerjasama rapat dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) lebih 30 tahun lalu.
Pemikir serta penganalisis WEF berpendapat, merencana semula ekonomi yang lebih saksama perlu cara baharu untuk sistem perlindungan sosial yang lebih berkesan.
Idea itu dilontarkan sebagai sebahagian daripada kaedah pembetulan ekonomi susulan senario ekonomi global yang suram untuk tahun 2019 ini.
Tonton Insta Story kru Astro AWANI yang melaporkan perkembangan terkini di World Economic Forum, Davos, Switzerland di sini.
#Davos #ekonomi #gaji pokok #keselamatan sosial #London #model #pendapatan #sistem perlindungan sosial #Switzerland #video #WEF #wef 2019 #World Economic Forum
;