Pekerja Boeing terima cadangan kontrak baharu, tamatkan mogok
Bernama
November 5, 2024 18:15 MYT
November 5, 2024 18:15 MYT
SAN JOSE (California): Mogok oleh puluhan ribu pekerja Boeing berakhir selepas mereka menerima tawaran yang lebih baik oleh pengeluar pesawat AS itu, termasuk kenaikan gaji sebanyak 38 peratus dalam tempoh empat tahun, menurut kesatuan sekerja IAM pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pada Isnin, ahli kesatuan sekerja mengundi dengan 59 peratus menyokong "untuk menerima cadangan itu dan kembali bekerja seawal 6 Nov 2024, menurut kesatuan itu.
IAM, yang mempunyai kira-kira 33,000 ahli di Boeing memaklumkan bahawa pekerja perlu kembali bekerja menjelang 12 Nov dan menegaskan bahawa mogok selama tujuh minggu itu telah berakhir.
Seminggu yang lalu, pekerja secara besar-besaran menolak tawaran kenaikan gaji 35 peratus dalam tempoh empat tahun, dengan 94 peratus menolak cadangan itu.
Pada pertengahan September, mereka menolak tawaran pertama oleh Boeing yang merangkumi kenaikan gaji 25 peratus.
Kontrak baharu ini juga termasuk bayaran sekali sebanyak US$12,000. Kesatuan itu juga merundingkan pengekalan bayaran bonus, yang pada asalnya dirancang untuk dimansuhkan, sebagai sebahagian daripada tawaran kedua.
Syarikat itu berdepan dengan pelbagai isu berkaitan pesawatnya dan sedang menghadapi masalah kewangan yang besar.
Pekerja Boeing sebelum ini melalui beberapa siri pembekuan gaji sepanjang dekad lalu dan kini menuntut kenaikan yang signifikan.
Boeing, yang mempunyai kira-kira 170,000 pekerja, baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 10 peratus daripada jumlah pekerjanya.
-- BERNAMA