Pekerja bank di Cyprus lancarkan demonstrasi

Agensi
Mac 23, 2013 07:57 MYT
Beribu-ribu pekerja bank di Cyprus melancarkan demonstrasi membantah langkah berjimat cermat yang sedang dibincang kerajaan dan badan pemiutang antarabangsa.
Bantahan diadakan ketika negara berkenaan bertungkus lumus menyediakan pelan pengumpulan dana bagi melayakkannya memperoleh pakej penyelamat antarabangsa.
Menurut Menteri Kewangan, Michalis Sarris, kemajuan penting berjaya dicapai sebelum rang undang-undang baru berkaitan pengumpulan dana diluluskan di parlimen pada Sabtu.
Undang-undang berkenaan antara lain bakal mengenakan cukai ke atas setiap deposit bank.
Pada Jumaat lalu, parlimen Cyprus meluluskan sembilan rang undang-undang baru termasuk penstrukturan semula bank bermasalah, menghalang transaksi kewangan ketika kecemasan dan penubuhan tabung.
Ia memerlukan 5.8 billion euro bagi mendapat pakej penyelamat antarabangsa.
Tanpa bantuan, institusi kewangan Cyprus dijangka lumpuh pada Selasa sekaligus meletakkan negara berkenaan dalam keadaan muflis dan terkeluar daripada Kesatuan Eropah.
#Cyprus #Kesatuan Eropah #Menteri Kewangan #Michalis Sarris
;