Pekebun durian tawar pakej melancong sambil menikmati durian di Pattani
Bernama
Jun 27, 2020 17:05 MYT
Jun 27, 2020 17:05 MYT
Pekebun dan pengusaha durian di Pattani, Selatan Thailand mengubah strategi pemasaran dengan menawarkan pakej menaiki kereta api sambil menikmati durian untuk warga tempatan, sempena Festival Durian Sai Khao.
Festival yang akan berlangsung esok bakal menawarkan pengalaman baharu kepada peminat durian dan penduduk tempatan untuk menaiki kereta api dari Hatyai di Songkhla ke Khok Pho di Pattani untuk menikmati durian premium dengan harga serendah 590 baht seorang.
Gabenor Pattani, Kraisorn Visitwong berkata setiap tahun, Wilayah Pattani mengeluarkan kira-kira 6,000 kilogram durian pelbagai jenis termasuk Monthong dan Kanyao.
Ketika musim durian, beliau berkata daerah Khok Pho, Pattani akan menarik pelancong khususnya peminat durian dari Malaysia dan Singapura untuk melancong sambil menikmati durian Thailand.
"Namun, pada tahun ini, berikutan pandemik COVID-19, pekebun dan pengusaha durian Thailand terpaksa mengubah strategi pemasaran durian berikutan penutupan pintu sempadan kepada pelancong asing.
"Mereka yang membeli pakej itu akan menaiki kereta api dari Hatyai, Songkhla ke Khok Pho untuk menikmati durian premium. Selain itu, mereka bakal berkunjung ke destinasi menarik di sekitar Pattani termasuk tempat ibadah," katanya.
Di Khok Pho, terdapat 1,951 pekebun dan pengusaha durian, dan ia merupakan pengeluar terbesar durian di Pattani.
-- BERNAMA
#durian
#kereta api
#koronavirus
#makan durian
#Malaysia
#pakej
#pandemik
#pelancong
#pelancongan
#pemasaran
#Thailand