Pejuang Houthi umum serang kapal Maersk Sentosa di Laut Arab
Agensi
Julai 9, 2024 07:45 MYT
Julai 9, 2024 07:45 MYT
SANAA: Pejuang Houthi dari Yaman dakwa telah menyerang kapal Maersk Sentosa di Laut Arab dengan beberapa peluru berpandu pada Selasa.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea mendakwa, kapal milik Amerika, Maersk Sentosa menjadi sasaran di Laut Arab oleh pasukan laut dan pasukan peluru berpandu dalam operasi ketenteraan.
Syarikat perkapalan Maersk dalam laporannya pula berkata, salah sebuah kapalnya, Maersk Sentosa, diserang objek terbang di utara Teluk Aden pada awal Selasa.
Dalam masa sama, Maersk memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan terhadap anak kapal atau kerosakan kepada kapal atau kargo.
Jurucakap syarikat berpusat di Copenhagen itu berkata, kapal itu merupakan salah sebuah kapal yang mengibarkan bendera Amerika Syarikat semasa berlayar untuk anak syarikat Maersk Line, Limited.
Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memberitahu, kapten kapal dagang yang tidak dinamakan melaporkan letupan berlaku berhampiran kapal kira-kira 180 batu nautika (333 km) di timur Nishtun Yemen, namun, kesemua anak kapalnya selamat.
Sarea juga menyatakan kumpulan itu mensasarkan kapal Marathopolis di Laut Arab dan kapal MSC Patnaree di Teluk Aden menggunakan dron. - Agensi