Pejuang bedil roket ke Israel sejurus gencatan Gaza berakhir
AFP
Ogos 8, 2014 15:48 MYT
Ogos 8, 2014 15:48 MYT
Pejuang Palestin di Gaza melepaskan bedilan roket bertalu-talu ke Israel pada Jumaat ketika pihak Palestin dalam rundingan di Kaherah enggan melanjutkan gencatan senjata 72 jam sepanjang konflik yang berlanjutan selama sebulan.
Tetapi rundingan gencatan senjata baru masih diteruskan di ibu negara Mesir, ketika penduduk di selatan Israel berlindung daripada roket dan penduduk Gaza melarikan diri dari rumah mereka kerana bimbang tindak balas daripada Israel.
Tentera Israel berkata sekurang-kurangnya 10 roket telah disasarkan ke selatan negara, dengan satu daripadanya dipintas di bandar pesisir pantai Ashkelon.
Menurut polis, serangan tersebut tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan.
Roket itu dibedil sejurus selepas 0500 GMT, apabila gencatan senjata 72 jam sepanjang pertempuran selama empat minggu di sekitar Gaza sampai ke penghujungnya setelah pihak Palestin enggan melanjutkannya.
"Semua pihak Palestin, termasuk Hamas, bersetuju untuk tidak memperbaharui gencatan senjata itu kerana (Israel) enggan memenuhi permintaan kami, tetapi rundingan diteruskan di Kaherah," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum kepada AFP.
Seorang pegawai Palestin berkata ketua umum Hamas dan Jihad Islam di Gaza, puak yang lebih kecil juga di sidang rundingan yang diketuai Mesir, telah bersetuju dengan gencatan senjata tetapi terdapat perubahan dalam perjanjian mengenai sekatan Israel ke atas Gaza.
Pegawai itu berkata anggota delegasi Palestin ke sidang rundingan itu, yang diketuai wakil Presiden Palestin Mahmud Abbas, akan bertemu selepas tengah hari untuk menilai pendirian mereka.