Pejabat Presiden Sri Lanka dibuka semula hari ini

Astro Awani
Julai 25, 2022 08:15 MYT
Anggota tentera mengawal kawasan luar pejabat Presiden selepas diserang penunjuk perasaan. - Foto AP
COLOMBO: Pejabat Presiden Sri Lanka yang dikepung dan diambil alih kumpulan penunjuk perasaan dalam demonstrasi antikerajaan sebelum ini akan dibuka hari ini.
Bangunan era kolonial itu diduduki awal bulan ini oleh penunjuk perasaan yang berang dengan krisis ekonomi negara itu, yang belum pernah berlaku dalam sejarah Sri Lanka.
Menurut pihak polis, pejabat itu bersedia untuk dibuka semula bermula Isnin.
Antara lain, pakar forensik sudah melawat pejabat itu untuk mengumpulkan bukti kerosakan oleh penunjuk perasaan berikutan protes sebelum ini.
Katanya, kepungan sekretariat yang berlangsung sejak 9 Mei lalu kini sudah ditarik balik.
Sebelum ini, askar menyelamatkan Presiden Gotabaya Rajapaksa di kediamannya yang berdekatan pejabat sebelum diserang oleh orang ramai yang marah dan pemimpin itu, akhirnya melarikan diri ke Singapura dan meletak jawatan.
Tentera bersenjata belantan dan automatik membersihkan sekretariat Presiden sejurus selepas tengah malam Jumaat atas arahan pengganti Rajapaksa, Ranil Wickremesinghe.
Sekurang-kurangnya 48 orang cedera dan sembilan ditahan dalam operasi itu,
di mana pasukan keselamatan merobohkan khemah yang didirikan penunjuk perasaan di luar kompleks itu awal tahun ini.
Kerajaan barat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia mengecam Wickremesinghe kerana menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan tidak bersenjata yang mengumumkan hasrat mereka untuk mengosongkan tapak itu Jumaat lalu.
Hurucakap polis Nihal Talduwa berkata, penunjuk perasaan bebas untuk meneruskan tunjuk perasaan mereka di tapak yang ditetapkan berhampiran pejabat Presiden.
Katanya, mereka boleh kekal di tapak proses rasmi. Kerajaan mungkin membuka beberapa tempat lagi untuk penunjuk perasaan di bandar itu.
Operasi ketenteraan untuk membersihkan bangunan sekretariat dan sekitarnya berlaku kurang daripada 24 jam selepas Wickremesinghe mengangkat sumpah dan sejurus sebelum kabinet baharu dilantik.
Wickremesinghe dipilih oleh penggubal undang-undang pada Rabu lalu untuk menggantikan Rajapaksa, yang melarikan diri ke Singapura dan meletak jawatan selepas penunjuk perasaan mengejarnya dari istananya.
#Pejabat Presiden #krisis ekonomi #Penunjuk perasaan #Ranil Wickremesinghe
;