Pejabat penjaga haiwan perhutanan Narathiwat diserang, suspek larikan senjata api

Bernama
September 22, 2024 06:00 MYT
Polis memperketatkan kawalan keselamatan dan meningkatkan rondaan bagi memburu suspek yang melarikan senjata api dalam kejadian di Perhutanan Hala Bala pada Sabtu. - Foto X/Thai PBS World
NARATHIWAT: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang pejabat penjaga haiwan Perhutanan Hala Bala pada petang Sabtu dan melarikan 10 laras senjata api di daerah Weng, di sini.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Maiteree Santayakul berkata dalam kejadian yang berlaku pada 6.30 petang waktu tempatan (21 Sept), lebih 10 lelaki bersenjata menyerang pejabat itu dengan sasaran utama adalah senjata api.
"Semua pegawai yang berada di pejabat penjaga haiwan semasa serangan itu telah diikat tangan dan kaki. Kumpulan itu melarikan 10 senjata api termasuk senapang patah dan pistol milik pejabat penjaga haiwan Perhutanan Hala Bala," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Maiteree berkata ketika polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, dua butir bom tiba-tiba meletup, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau juga menyatakan pihak polis memperketatkan kawalan keselamatan dan meningkatkan rondaan bagi memburu suspek yang melarikan senjata api berkenaan.
"Setakat ini, masih belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan ini," tambahnya.
-- BERNAMA
#pejabat penjaga haiwan #senjata api #Perhutanan Hala Bala #bom
;