Peguam Oman tawar AS$1 juta untuk bisht dipakai Messi pada Piala Dunia
Bernama
Disember 25, 2022 13:50 MYT
Disember 25, 2022 13:50 MYT
BERLIN: Seorang peguam dari Oman berhasrat membeli bisht yang dipakai bintang bola sepak Argentina Lionel Messi pada majlis anugerah Piala Dunia pada harga AS$1 juta.
"Daripada Kesultanan Oman, saya mengucapkan tahniah kepada anda kerana memenangi Piala Dunia Qatar 2022. Bisht adalah simbol kesatria dan kebijaksanaan. Saya menawarkan anda AS$1 juta untuk membeli bisht itu," menurut ciapan Ahmed al-Barwani di Twitter, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Ketua negara Qatar, Emir Tamim bin Hamad Al Thani menghadiahkan jubah berkenaan kepada Messi untuk dipakai pada majlis anugerah itu.
Terdapat kritikan dari media Barat yang menyifatkan saat kemenangan itu bukan lagi milik juara dunia baharu itu - tetapi juga milik negara tuan rumah kerana jersi Argentina ditutup dengan jubah berkenaan.
Pengguna di rangkaian sosial bertindak balas terhadap kritikan itu.
"Saya berada di stadium menonton detik itu secara langsung apabila emir Qatar menyarungkan bisht kepada Messi," kata al-Barwani kepada akhbar The National.
"(Bisht) adalah simbol kepada banyak perkara termasuk kebijaksanaan, keberanian, integriti, kemurahan hati serta keaslian dan yang paling penting, ia identiti kita," kata al-Barwani.
Jika al-Barwani berjaya dengan bidaannya, bisht itu tidak akan dipakai sebaliknya akan dipamerkan.
"Ia akan dipamerkan untuk memperingati detik kebanggaan itu, dan juga untuk mengingatkan kita bahawa kita boleh (melakukan apa sahaja)," katanya kepada The National.
Bisht ialah jubah panjang yang dipakai golongan lelaki di negara-negara Teluk dan Iran bagi majlis-majlis khas.
-- BERNAMA