Peguam Negara AS lantik peguam khas siasat urusan dokumen sulit Biden

Bernama
Januari 13, 2023 11:51 MYT
Rumah Putih sebelum ini berkata lebih banyak dokumen sulit ditemui di rumah Biden (gambar) di Wilmington, Delaware. - Fail
WASHINGTON: Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Merrick Garland pada Khamis mengumumkan pelantikan peguam khas untuk menyiasat urusan berkaitan hal dokumen sulit Presiden Joe Biden.
Pelantikan Robert Hur dibuat selepas penemuan dua kumpulan dokumen sulit dalam simpanan Biden semasa beliau menjadi naib presiden.
Garland berkata beliau telah memaklumkan mengenai pelantikan itu kepada ahli dewan Kongres, lapor Agensi Anadolu.
Garland telah menandatangani perintah melantik Hur, yang menurutnya memberi kuasa kepada Hur untuk menyiasat mana-mana orang atau entiti yang melanggar undang-undang.
Rumah Putih sebelum ini berkata lebih banyak dokumen sulit ditemui di rumah Biden di Wilmington, Delaware -- kebanyakannya dalam ruang penyimpanan di garaj.
Richard Sauber, Penasihat Khas Biden, berkata peguam Biden menggeledah kediamannya di Wilmington dan Rehoboth Beach, Delaware selepas dokumen sulit ditemui di Pusat Penn Biden pada November.
Peguam Biden menemui kumpulan pertama kira-kira 10 dokumen dalam almari berkunci di Pusat Diplomasi dan Penglibatan Global Penn Biden di Washington, D.C. ketika bersiap untuk mengosongkan ruang pejabat dan menyerahkannya kepada Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara.
Ia termasuk dokumen yang mengandungi memo perisikan AS dan bahan taklimat bertarikh antara 2013 dan 2016 berkaitan Ukraine, Iran dan UK, kata sumber kepada CNN.
Biden dilaporkan berkata terkejut mengetahui dokumen sulit dari zamannya sebagai naib presiden ditemui di pejabatnya dan menambah pasukannya "segera" menyerahkan dokumen berkenaan kepada Arkib Negara.
Rumah Putih yakin selepas pelantikan Hur, siasatan akan menunjukkan bahawa Biden secara tidak sengaja tersalah letak dokumen.
Dokumen Negara | Peguam Negara arah siasat cara Biden kendali dokumen sulit
"Kami yakin bahawa semakan menyeluruh akan menunjukkan dokumen-dokumen ini secara tidak sengaja tersasar, dan Presiden dan peguamnya bertindak segera setelah menyedari kesilapan ini," ia memetik Sauber dalam satu kenyataan.
Rumah Putih telah "bekerjasama dengan Jabatan Kehakiman dan kami akan meneruskan kerjasama itu dengan Penasihat Khas," katanya.
-- BERNAMA
#dokumen sulit #Presiden Amerika #Joe Biden #Peguam Negara
;