Peguam akui Ronaldo bayar RM1.74 juta kepada 'mangsa' rogol

Hasimi Muhamad
Ogos 20, 2019 07:32 MYT
Mayorga mendakwa Ronaldo merogolnya selepas mengadakan pertemuan di sebuah kelab malam pada 12 Jun 2009 di Las Vegas, Amerika Syarikat. GAMBAR AP/Paul White
KONTROVERSI berhubung tuduhan Cristiano Ronaldo merogol seorang wanita 10 tahun lalu kembali mencuri tumpuan selepas peguam bintang bola sepak dunia itu mengakui wanita berkenaan dibayar 375,000 euro (RM1.74 juta) bagi "penyelesaian kes".
Ronaldo, yang kini bersama kelab Itali, Juventus, bagaimanapun pernah menafikan melakukan serangan seksual terhadap wanita terbabit, Kathryn Mayorga pada 2019.
Memetik laporan The Independent, satu tuntutan undang-undang oleh Mayorga untuk membatalkan penyelesaian tersebut telah dibuat tahun lalu.
Tuntutan tersebut mendakwa Ronaldo dan pasukan perundangannya mengambil kesempatan terhadap dirinya yang merujuk kepada keadaan emosinya yang tidak stabil.
Mayorga menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya 165,000 euro (kira-kira RM764,000).
Bagaimanapun, dalam tuntutan yang difailkan oleh peguam Ronaldo pada Jumaat, mereka mengakui pembayaran tersebut dibuat kepada Mayorga "bagi mengekalkan kerahsiaan pertikaian mereka".
Terdahulu, Mayorga mendakwa Ronaldo merogolnya selepas mengadakan pertemuan di sebuah kelab malam pada 12 Jun 2009 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Kes itu bermula daripada panggilan seorang wanita kepada polis Las Vegas pada 13 Jun 2009.
Wanita itu melaporkan dia diserang secara seksual dan polis membawanya ke hospital untuk pemeriksaan. Namun wanita itu enggan mendedahkan siapa yang menyerangnya.
Wanita berkenaan dan Ronaldo mencapai penyelesaian sivil pada tahun 2010 dan pihak berkuasa hanya menerima panggilan daripada wanita itu pada 28 Ogos 2018, apabila dia meminta polis untuk membuka semula siasatan.
Dia menuduh Ronaldo adalah individu yang menyerangnya.
Namun, pada Julai 2019, tiada tuntutan jenayah difailkan ke atas Ronaldo, dengan pendakwa menetapkan bahawa dakwaan tersebut sebagai "tidak dapat dibuktikan tanpa keraguan munasabah".
Sebaliknya, peguam Ronaldo mendakwa anak guamnya dan mangsa melakukan hubungan intim.
#bintang bola sepak dunia #Cristiano Ronaldo #Juventus #Kathryn Mayorga #Kelab bola Itali #rogol #Ronaldo bayar mangsa rogol #Ronaldo rogol wanita
;