Pegawai selia komunikasi Uganda arah sekatan aplikasi media sosial
Astro Awani
Januari 12, 2021 06:30 MYT
Januari 12, 2021 06:30 MYT
Pengawal Selia Komunikasi Uganda mengarahkan penyedia perkhidmatan internet untuk menyekat aplikasi media sosial dan sistem pesanan, dua hari sebelum pilihan raya.
Antara lain, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi Uganda (UCC) Irene Sewankambo mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menggantung sebarang penggunaan dan akses kepada media sosial serta platform mesej dalam talian.
Beberapa pengguna media sosial di Uganda melaporkan mereka tidak boleh lagi mengakses Facebook, Twitter dan beberapa platform media sosial lain.
Rungutan dibuat ketika negara itu berdepan pilihan raya yang sebelum ini seringkali dicemari keganasan.
Laman media sosial lain yang disekat termasuk WhatsApp, Signal dan Viber.
Pada Selasa, beberapa pengguna menyatakan mereka hanya boleh mengakses media sosial menerusi rangkaian peribadi maya, VPN.
Lebih 100 senarai VPN diedarkan kepada penyedia perkhidmatan internet oleh UCC dengan arahan untuk menyekatnya.
Langkah menyekat media sosial itu dibuat beberapa hari selepas UCC meminta semua syarikat telekomunikasi utama untuk menyekat akses kepada Ios Appstore, Google Playstore dan YouTube.
Menteri Pertahanan dan Hal Ehwal Veteran, Adolf Mwesigye dan rakan sejawatnya, Jeje Odongo minggu lalu memberitahu wartawan, kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan media sosial yang didakwa mereka telah disalahgunakan dalam pilihan raya ini.
Uganda akan mengadakan pilihan raya pada Khamis.
#pilihan raya
#sekatan
#media sosial
#Suruhanjaya Komunikasi
#Facebook
#Twitter
#YouTube
#WhatsApp
#signal
#Viber
#keganasan
#Uganda