Pegawai perubatan Palestin gali kawasan runtuhan cari penduduk terselamat
Astro Awani
November 1, 2023 06:00 MYT
November 1, 2023 06:00 MYT
GAZA: Para pegawai perubatan Palestin menggali kawasan runtuhan dengan harapan mencari penduduk Gaza yang masih hidup pada Rabu.
Ia dilakukan selepas pasukan Israel meletupkan perkhemahan Jabalia, perkhemahan pelarian terbesar Gaza, dengan menyatakan bahawa tentera sedang menyerang kubu utama Hamas.
Pegawai kesihatan tempatan memaklumkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh manakala 150 lain mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, seorang ibu menangis dan berdoa untuk tiga anaknya yang terbunuh dalam serangan itu, berkata, "Semoga Allah memberi rahmat kepada mereka, kepada Allah kita kembali."
Pasukan Pertahanan Israel mengeluarkan rakaman video yang dikatakan sebagai serangan ke atas Jabalia.
Dalam kenyataan, mereka mengatakan serangan itu membunuh puluhan pejuang Hamas di kompleks terowong bawah tanah, termasuk seorang komandan, Ibrahim Biari.
Dalam masa sama, jurucakap Hamas menafikan bahawa keberadaan komandan kanan di Jabalia dan menyebut dakwaan Israel sebagai alasan untuk membunuh orang ramai.
Sementara itu, Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel, dengan menuduh mereka melakukan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Negara lain seperti Chile dan Colombia turut mengarahkan duta mereka keluar dari Israel manakala Israel mendakwa Bolivia "menyerah diri kepada keganasan."