Pegawai masjid Quebec City lokasi 6 jemaah mati ditembak, gesa undang-undang senjata api dilaksana
Bernama
Oktober 21, 2022 12:30 MYT
Oktober 21, 2022 12:30 MYT
TRENTON (KANADA): Pengasas bersama masjid Bandaraya Quebec tempat enam jemaah terbunuh dalam insiden tembakan maut pada 2017, pada Khamis menggesa penggubal undang-undang Kanada supaya memperketat dan meluluskan rang undang-undang senjata api yang dicadangkan, lapor Agensi Anadolu.
Boufeldja Benabdallah berkata RUU C-21 wajar menyertakan larangan ke atas senjata serbu (assault rifle) separa automatik "yang tidak munasabah digunakan untuk memburu. Kita tidak perlukan senjata perang."
Pada 29 Jan 2017, Alexandre Bissonnette datang ke Pusat Kebudayaan Islam Bandaraya Quebec ketika solat magrib berakhir. Dia cuba melepaskan rentetan peluru menggunakan senapang serbu .223 separa automatik namun tersekat, lalu mencapai pistol separa automatik Glock 9 mm miliknya.
Dalam masa kurang daripada dua minit, dia membunuh enam jemaah dan mencederakan 19 yang lain termasuk lima parah. Ia merupakan insiden terburuk dalam premis keagamaan dalam sejarah Kanada.
Kerajaan Liberal Perdana Menteri Justin Trudeau akhirnya mengharamkan kira-kira 1,500 jenis senjata api pada Mei 2020. Kerajaan berkata senjata itu, termasuk AR-15 (senapang paling popular di Amerika) dan Ruger Mini-14, tidak diperlukan untuk memburu.
Ketika Benabdallah hadir di hadapan jawatankuasa keselamatan awam Dewan Perwakilan yang mengkaji RUU C-21 pada Jumaat, beliau berkata Menteri Keselamatan Awam Marco Mendicino memberi jaminan kepadanya sebelum ini bahawa pindaan untuk mentakrif dengan jelas serta pengharaman senjata serbu akan dilaksanakan.
"Kerajaan perlu melakukannya, dan saya yakin kerana kami sudah membincangkannya secara lisan dengan Encik Mendicino ketika beliau berkunjung ke masjid," katanya.
Rang undang-undang itu juga akan mengharamkan pembelian, penjualan, import dan pemindahan pemilikan pistol di Kanada.
-- BERNAMA