Pegawai keselamatan cuba telan wang kertas yang dicuri, elak ditangkap

Agensi
September 22, 2023 16:49 MYT
Perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV), dan rakaman itu kemudian dimuat naik ke dalam talian. - Video/media sosial
MANILA: Seorang pegawai keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Filipina, digantung tugas kerana didakwa mencuri AS$300 (RM1,400) daripada seorang penumpang semasa pemeriksaan.
Malah pegawai wanita itu juga cuba menelan wang tunai yang dicurinya bagi mengelakkan daripada ditangkap.
Perbuatannya itu dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV), sebelum kemudiannya tersebar kepada umum apabila rakaman berkenaan dimuat naik ke dalam talian.
Dalam kejadian pada 8 September lalu itu, pegawai tersebut didakwa mencuri wang berkenaan ketika seorang penumpang meninggalkan begnya untuk diperiksa melalui mesin pengimbas.
Penumpang tersebut menyedari begnya diselongkar selepas melihat dompetnya terbuka dan beberapa keping wang kertas hilang.
Laporan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang menyatakan bahawa penyelia kepada pegawai tersebut dipercayai turut terbabit melakukan jenayah itu.
"Rakaman CCTV jelas menunjukkan bahawa SSO (pegawai pemeriksaan keselamatan), berniat untuk mencuri AS$300 dari seorang penumpang semasa proses pemeriksaan, dan jelas memiliki wang yang dicuri itu kerana dia sengaja menelan wang kertas untuk mengelak daripada ditangkap," laporan itu menyebut.
Pejabat Keselamatan Pengangkutan (OTS) berkata mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk menyiasat insiden itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
#kecurian #lapangan terbang #Manila #Pegawai Keselamatan
;