Pegawai kerajaan di Riau perlu sahkan kehadiran solat Subuh berjemaah guna imbasan cap jari

Agensi
Mac 5, 2019 18:56 MYT
Saranan itu mendapat bantahan kakitangan lain yang berpendapat dunia pekerjaan mereka tidak perlu dikaitkan secara langsung dengan tuntutan keagamaan. - Gambar hiasan
PARA pegawai kerajaan dalam pentadbiran Riau, Indonesia diarahkan menggunakan sistem imbasan cap jari setiap kali memasuki masjid sebelum solat Subuh berjemaah.
Ketua Jabatan Sukan, Meifrizon berkata, dia menyokong polisi itu yang memberi impak positif kepada prestasi pegawai-pegawai.
“Ia memberi impak kepada kami. Jika kami tidak mendaftar masuk, kami tidak akan mendapat gaji,” katanya.
Katanya, sistem baharu itu telah diuji sebanyak tiga kali dan akan digunakan sebelum Subuh.
Bagaimanapun, saranan itu mendapat bantahan kakitangan lain yang berpendapat rekod dan prestasi pekerjaan mereka tidak perlu dikaitkan secara langsung dengan tuntutan keagamaan.
“Saya sering ke masjid bersama Gabenor, tetapi tidak menggunakan sistem itu. Solat itu wajib, tetapi ia adalah hubungan yang kita bina bersama Tuhan. Pengesanan kehadiran itu tidak wajar,” kata Ketua Jabatan Kesihatan Keselamatan Kepulauan Riau, Tjetjep Yudiana pada Isnin kepada Antara.
Katanya, sistem berkenaan dikeluarkan oleh Gabenor Kepulauan Riau, Nurdin Basirun dalam usaha menjadikan semua ketua jabatan lebih fokus dan warak.
Dalam pada itu, seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, solat merupakan hubungan bersama Tuhan.
“Sistem kehadiran itu tidak ada kena mengena langsung. Bersembahyang bersama Gabenor juga tidak wajib. Kami mula bekerja pukul 8 pagi, bukannya Subuh,” katanya.
Katanya, ada sebahagian besar pegawai lebih selesa untuk menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran kediaman masing-masing.
Pada September lalu, Datuk Bandar Palembang, Harnojoyo, menandatangani peraturan walikota (Perwali), atau surat pekeliling, yang menguatkuasakan amalan solat subuh berjemaah dalam kalangan pekerja khususnya ketua jabatan di semua pejabat kerajaan.
BACA: Datuk Bandar Palembang wajibkan pekerja pejabat solat subuh berjemaah, jika tidak...
#Indonesia #kepulauan riau #keselamatan #kesihatan #masjid #sembahyang #sistem cap jari #solat #Subuh #sukan
;