Pegawai kanan tentera Taiwan hilang selepas helikopter lakukan pendaratan cemas

Agensi
Januari 2, 2020 14:19 MYT
Operasi menyelamat tersebut telah digerakkan bagi mencari tiga lagi mangsa, termasuk ketua jeneral staf tentera Shen Yi-ming dan dua mangsa lain. - Foto AP
Pegawai kanan tentera Taiwan merupakan antara tiga individu yang hilang apabila helikopter yang dinaiki mereka melakukan pendaratan kecemasan di kawasan utara pergunungan berhampiran ibu kota Taipei pada Khamis.
Ekoran insiden tersebut, satu pasukan penyelamat telah dihantar bagi misi menyelamatkan 13 penumpang helikopter tersebut.
Menurut satu kenyataan, operasi menyelamat tersebut telah digerakkan bagi mencari tiga lagi mangsa, termasuk Ketua Jeneral Staf Tentera, Shen Yi-ming dan dua mangsa lain.
"Beberapa anggota masih terperangkap di dalam, sementara ada yang telah berjaya keluar," jelas jurucakap tentera yang bertugas namun beliau tidak menjelaskan sebab atau punca kejadian berlaku.
Sementara itu, pihak kementerian pertahanan turut menjelaskan bahawa helikopter tersebut melakukan pendaratan kecemasan di New Taipei City apabila pihak berkuasa penerbangan telah terputus hubungan dengannya pada pukul 8:22 pagi.
Insiden tersebut berlaku seminggu sebelum Taiwan mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen pada 11 Januari depan.
Dalam pada itu, Presiden Republik China, Tsai Ing-wen mengambil keputusan bagi membatalkan setiap aktiviti kempen pilihan raya yang dijadualkan pada Khamis, dan mendesak pihak berkuasa untuk melakukan sehabis baik bagi usaha misi penyelamat berkenaan.
#hilang #mangsa #operasi #penerbangan #presiden #Taiwan #tentera
;