Pegawai kanan ASEAN-China bincangkan pelaksanaan DOC di Laut Timur
Bernama
Mei 18, 2023 22:35 MYT
Mei 18, 2023 22:35 MYT
QUANG NINH: Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China ke-20 mengenai pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan (DOC) di Laut Timur (Laut China Selatan) (SOM-DOC) diadakan di wilayah utara Vietnam Quang Ninh pada Rabu selepas hampir dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19.
SOM-DOC ke-20 dipengerusikan bersama oleh Myanmar, penyelaras hubungan ASEAN-China, dan China, lapor Agensi Berita Vietnam.
Pemangku Ketua SOM ASEAN Vietnam, Duta Vu Ho, menegaskan bahawa mengekalkan dan mempromosikan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di Laut Timur bukan sahaja kepentingan dan tanggungjawab bersama ASEAN dan China tetapi juga mencerminkan tanggungjawab mereka terhadap komuniti antarabangsa, kerana laut itu merupakan laluan maritim yang penting di dunia.
Memandangkan situasi kompleks dan tindakan unilateral berterusan yang melanggar undang-undang antarabangsa di Laut Timur, duta itu mencadangkan agar negara-negara harus menggabungkan "kata-kata dengan perbuatan" dengan menterjemahkan komitmen politik kepada tindakan khusus dan yang sesuai di lapangan.
Dalam semangat itu, beliau menekankan keperluan untuk menggunakan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS) sebagai "prinsip" untuk aktiviti di Laut Timur.
Ho berkata negara-negara terlibat juga mesti serius dan sepenuhnya mematuhi semua peruntukan DOC.
Perwakilan yang menghadiri mesyuarat bercakap mengenai hasil positif dalam perlaksanaan DOC pada masa lalu. Mereka menggesa ASEAN dan China supaya mematuhi semua peruntukan DOC dengan serius, sepenuhnya dan berkesan.
SOM-DOC ke-20 mengiktiraf kemajuan dalam rundingan CoC dan membincangkan orientasi kepada proses yang dijalankan oleh Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China bagi Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku (JWG-DOC).
Peserta juga bersetuju untuk mengadakan SOM-DOC ke-21 di China pada suku keempat 2023.
-- BERNAMA