Pegawai kanan ASEAN bincang tingkatkan kesalinghubungan serantau

Bernama
Ogos 22, 2024 05:20 MYT
Wakil negara anggota ASEAN mengadakan mesyuarat di Luang Prabang, Laos, pada Rabu, bagi mengkaji semula pelaksanaan keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 dan mesyuarat berkaitan. - Foto ASEAN
VIENTIANE: Wakil dari negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bertemu di wilayah Luang Prabang, utara Laos membincangkan peningkatan kesalinghubungan dan daya tahan serantau.
Para wakil itu bertemu pada Rabu untuk Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM), yang dianjurkan Kementerian Luar Negeri Laos, menurut kementerian itu dalam laporan pada Khamis.
Mesyuarat itu mengkaji semula pelaksanaan keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 dan mesyuarat berkaitan, terutamanya pelaksanaan sembilan keutamaan di bawah pengerusi ASEAN Laos pada 2024 dengan tema "ASEAN: Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan".
Para pegawai membuat kesimpulan pada mesyuarat itu bahawa kerja keseluruhan dalam hal ini berjalan dengan baik.
Mesyuarat itu juga membincangkan pelaksanaan pelan tindakan untuk Timor-Leste menjadi ahli penuh ASEAN dan permohonan oleh negara di luar rantau ini untuk menjadi pihak kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN di Asia Tenggara.
-- BERNAMA
#ASEAN #Mesyuarat Pegawai Kanan #laos #Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN
;