Pegawai Israel sokong kemusnahan Gaza, ICJ diberitahu

Agensi
Januari 11, 2024 06:00 MYT
Pada Khamis, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Haque, Belanda membuka sidang pertama kes pendakwaan Afrika Selatan terhadap Israel berhubung jenayah pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin di Semenanjung Gaza. - Gambar AP
THE HAGUE, BELANDA: Rancangan Israel untuk "memusnahkan" Gaza datang dari "peringkat tertinggi," Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diberitahu.
Tuntutan itu dibuat oleh peguam Afrika Selatan ketika membentangkan kesnya yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Afrika Selatan juga menggesa mahkamah mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Gaza.
Israel - yang akan membentangkan pembelaannya pada Jumaat - telah menolak dengan sekeras-kerasnya tuduhan itu sebagai "tidak berasas".
Mahkamah hanya akan memberikan pendapat mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai, walaupun ia sedang diawasi dengan teliti.
Tembeka Ngcukaitobi, seorang peguam untuk Mahkamah Tinggi Afrika Selatan, memberitahu ICJ, "niat pembunuhan beramai-ramai" Israel adalah jelas daripada “cara serangan tentera ini dijalankan."
“Niat untuk memusnahkan Gaza telah dipupuk di peringkat tertinggi negara.
“Setiap hari kita melihat peningkatan jumlah nyawa rakyat Palestin yang hilang, kemusnahan harta benda, kehilangan maruah dan kemanusiaan.
"Tiada apa-apa yang akan menghentikan segala penderitaan yang dilalui rakyat Palestin, kecuali perintah daripada mahkamah ini," kata Adila Hassim, peguam yang juga mewakili Afrika Selatan kepada mahkamah.
Dalam keterangannya yang dikemukakan sebelum perbicaraan, Afrika Selatan berkata, tindakan Israel itu "bertujuan untuk membawa kemusnahan sebahagian besar kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin".
Israel akan menawarkan pertahanannya pada hari Jumaat, tetapi sebelum ini berkata tindakannya di Semenanjung Gaza adalah wajar kerana ia bertindak balas terhadap serangan maut Hamas pada 7 Oktober.
Bagaimanapun, semasa bercakap di mahkamah pada Khamis, Menteri Kehakiman Afrika Selatan, Ronald Lamola menegaskan, tiada serangan yang "boleh memberikan justifikasi atau mempertahankan pelanggaran Konvensyen [Genosid] PBB."
AS komited pertahan Israel
Israel merupakan sebahagian daripada yang menandatangani Konvensyen Genosid 1948, yang mentakrifkan pembunuhan beramai-ramai dan komited untuk mencegahnya.
Pada Khamis, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membidas sikap hipokrasi Afrika Selatan serta mengkritik negara itu kerana gagal bertindak balas terhadap kekejaman di Syria dan Yemen yang didakwanya dilakukan oleh "rakan kongsi Hamas."
"Hari ini kita melihat dunia terbalik. Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai semasa ia memerangi pembunuhan beramai-ramai.
"Israel memerangi pengganas yang melakukan jenayah terhadap kemanusiaan," kata Netanyahu.
Dalam perkembangan sama, sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) pula dalam reaksinya berkata, negara itu tidak melihat sebarang justifikasi terhadap dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai.
“Mereka (Israel) mempertahankan diri daripada ancaman yang benar-benar berlaku,” kata jurucakap keselamatan White House, John Kirby.
ICJ ialah mahkamah tertinggi PBB, yang berpangkalan di The Hague di Belanda.
Keputusannya secara teorinya mengikat pihak-pihak dalam ICJ - termasuk Israel dan Afrika Selatan - tetapi tidak boleh dikuatkuasakan.
Pada 2022, ICJ mengarahkan Rusia untuk "menggantung serta-merta operasi ketenteraan" di Ukraine, namun, perintah itu tidak diendahkan.
Di bawah undang-undang antarabangsa, pembunuhan beramai-ramai ditakrifkan sebagai melakukan satu atau lebih perbuatan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.
Di luar bangunan ICJ berlaku kekecohan sehingga menyebabkan polis Belanda terpaksa bergelut untuk memisahkan kumpulan penyokong Palestin dan Israel.
Beratus-ratus orang mengibarkan bendera Palestin berkumpul di luar ICJ, menyeru gencatan senjata.
Penyokong Israel pula memasang skrin yang menunjukkan imej beberapa tebusan masih ditahan di Gaza.
Pita polis merah dan putih telah diletakkan di luar ICJ dalam usaha mententeramkan kepada huru-hara di luar.
Pengaruh ICJ
Sementara itu, pasukan guaman Israel dijangka menyampaikan hujah untuk mempertahankan diri di bawah undang-undang antarabangsa - dengan Netanyahu pada minggu ini mendakwa, Israel tidak berniat untuk memindahkan penduduk Gaza secara kekal atau menduduki wilayah itu.
Tidak seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), ICJ tidak boleh mendakwa individu untuk jenayah seperti pembunuhan beramai-ramai, tetapi pendapatnya mempunyai pengaruh kepada PBB dan institusi antarabangsa yang lain.
Pada Rabu, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata: "Penentangan kami berhubung penyembelihan berterusan terhadap penduduk Gaza telah mendorong kami sebagai sebuah negara untuk mendekati ICJ."
Presiden Israel, Isaac Herzog pula menyifatkan tuduhan itu sebagai "kejam dan tidak masuk akal."
"Kami akan berada di Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan kami dengan bangga akan membentangkan hujah kami sebagai mempertahankan diri... di bawah undang-undang kemanusiaan," katanya.
Herzog menambah, tentera Israel "sedang melakukan yang terbaik dalam keadaan yang sangat rumit di lapangan untuk memastikan bahawa tidak akan ada akibat yang tidak diingini dan tiada korban awam".
ICJ boleh membuat keputusan dengan segera atas permintaan Afrika Selatan agar Israel menangguhkan kempen ketenteraannya - namun begitu, keputusan muktamad sama ada Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai boleh mengambil masa bertahun-tahun.
Afrika Selatan lantang mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza dan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang mentadbir negara itu mempunyai sejarah solidariti yang sangat panjang dengan perjuangan Palestin.
Ia melihat persamaan dengan perjuangannya menentang aparteid - dasar pengasingan kaum dan diskriminasi yang dikuatkuasakan oleh kerajaan minoriti kulit putih di Afrika Selatan terhadap majoriti kulit hitam di negara itu, sehingga pilihan raya demokrasi pertama diadakan pada 1994.
Di Gaza, lebih 23,350 orang - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - telah terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas, sejak perang bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel. - BBC
#Perang Palestin-Israel #Mahkamah Keadilan Antarabangsa #tuduhan genosid Israel #Afrika Selatan dakwa Israel
;