Pegawai atasan tentera Rusia, suspek utama nahas MH17 - Belanda
Agensi
Mei 25, 2018 06:25 MYT
Mei 25, 2018 06:25 MYT
Badan penyiasat yang dilantik Belanda bagi menyiasat nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 menamakan seorang warga Rusia sebagai suspek utama yang ada kaitan dengan nahas tersebut.
Kumpulan yang dikenali sebagai Kumpulan Bellingcat pada Jumaat menamakan seorang warga Rusia, Andrey Ivanovich yang menggunakan kod nama "Orion" adalah Oleg Vladimirovich Ivannikov.
Hasil risikan dan siasatan yang dibuat Bellingcat mendakwa Ivannikov adalah salah satu suara yang dikesan dalam perbualan yang dikesan perisikan Ukraine sehari selepas nahas berlaku.
Perbualan tersebut didakwa ada kaitan dengan pelancaran peluru berpandu yang mensasarkan pesawat malang MH17 pada 17 Julai 2014.
Kumpulan penyiasat mendakwa Ivannikov merupakan seorang pegawai atasan tentera Rusia yang dihantar ke wilayah Luhansk di Ukraine sejak awal 2014 dan dia menjadi individu penting siasatan nahas tersebut.
Rusia bertalu-talu menafikan penglibatannya dalam serangan peluru berpandu ke atas MH17 yang mengorbankan kesemua 298 orang termasuk anak kapal itu.
Pada Jumaat, Belanda dan Australia menegaskan Rusia bertanggungjawab dalam serangan terbabit dan menggesa kerjasama diberikan Kremlin.