Pegawai AS akan ke Eropah Tengah, Asia Tengah bincang isu pematuhan sekatan
Bernama
April 17, 2023 13:35 MYT
April 17, 2023 13:35 MYT
WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat (AS) akan berlepas ke Eropah Tengah dan Asia Tengah dalam tempoh dua minggu akan datang bagi menangani isu pengelakan sekatan, lapor Sputnik memetik Jabatan Perbendaharaan AS.
Setiausaha Bahagian (Perbendaharaan untuk Keganasan dan Perisikan Kewangan) Brian Nelson dan Penolong Setiausaha (Pembiayaan Pengganas dan Jenayah Kewangan) Elizabeth Rosenberg terlibat dalam perjalanan itu.
Semasa lawatan kedua-dua mereka akan mengenal pasti cara untuk meningkatkan kerjasama, berkongsi maklumat dan membincangkan arah aliran perdagangan dan keutamaan penguatkuasaan di semua peringkat rantaian bekalan, kata Perbendaharaan dalam satu kenyataan.
Nelson akan berlepas ke Switzerland, Itali, Austria dan Jerman dari 16 April-22 April manakala Rosenberg ke Kazakhstan dan Kyrgyzstan dari 23 April-28 April.
"Di Eropah Tengah, Nelson akan bertemu dengan pegawai kerajaan, institusi kewangan dan perniagaan lain yang terdedah kepada Rusia, serta pengilang dan penggiat industri utama," kata Perbendaharaan.
Jabatan itu berkata di Asia Tengah, Rosenberg, bersama-sama rakan sejawatan dari Kesatuan Eropah, United Kingdom, dan Jabatan Perdagangan AS, akan bertemu pegawai kerajaan dan perniagaan swasta untuk membantu meningkatkan pematuhan dan menangani pengelakan dalam perdagangan dan pembayaran kewangan.
Barat, termasuk EU, melancarkan kempen sekatan besar-besaran terhadap Moscow selepas negara itu memulakan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari 2022,
Setakat ini, blok itu telah menerima pakai 10 pakej sekatan.
-- BERNAMA