Pecat 900 pekerja menerusi Zoom, pengurus firma di AS dikecam
Agensi
Disember 7, 2021 12:42 MYT
Disember 7, 2021 12:42 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang ketua sebuah firma di Amerika Syarikat (AS) memberhentikan 900 kakitangannya menerusi panggilan Zoom mengundang kecaman dalam kalangan orang ramai.
Mengambil tindakan drastik sedemikian disifatkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Sekiranya anda tersenarai dalam kumpulan ini, anda merupakan golongan tidak bertuah yang diberhentikan," kata Ketua Eksekutif firma Better.com, Vishal Garg dalam mesej yang dikeluarkan yang akhirnya dikongsi di media sosial.
Keputusan memberhentikan 900 pekerja iaitu 15 peratus daripada sumber manusia firma itu tidak dapat diterima ramai memandangkan sambutan Krismas hampir menjelang yang tentunya akan membuatkan kesemua pekerja itu berduka.
Memetik laporan media antarabangsa, Garg mendakwa prestasi dan produktiviti pekerjanya serta perubahan pasaran menyebabkan tindakan tersebut terpaksa diambil.
Jelasnya, kesemua pekerja yang dipecat itu akan mendapat pampasan satu hingga tiga bulan gaji.
Bagaimanapun, beberapa pekerja yang menerima pemecatan itu mendakwa tidak mendapat sebarang makluman berhubung tindakan terbabit dari Jabatan Sumber Manusia syarikat berkenaan.
Laporan media turut memaklumkan syarikat terbabit mendapat pelaburan kira kira $750 juta AS minggu lalu.
#Amerika Syarikat
#AS
#COVID-19
#pandemik
#pelaburan
#pemecatan
#Pekerja
#tenaga kerja
#sumber manusia
#Ketua Pegawai Eksekutif
#firma