Pecah rekod, Grand Prix Singapura catat kehadiran tertinggi
Faida Rahim
Oktober 2, 2022 19:25 MYT
Oktober 2, 2022 19:25 MYT
SINGAPURA: Grand Prix (GP) Singapura yang berlangsung hujung minggu ini mencipta rekod baharu selepas mencatatkan kehadiran tertinggi dalam sejarah perlumbaan sejak 13 tahun penganjuran.
Penganjur Formula 1, Singapore GP Pte Ltd (SGP) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu kenyataan memaklumkan tiket habis dijual dengan kehadiran sekitar 302,000 peminat pada acara yang berlangsung selama tiga hari itu.
Memetik laporan CNA, angka ini melepasi jumlah penonton yang hadir pada malam pertama perlumbaan pada tahun 2008 iaitu 300,000 orang penonton.
Dalam pada itu, kali terakhir penganjuran GP Singapura adalah pada tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19 menyerang menyaksikan kehadiran seramai 280,000 penonton.
Sebelum ini, GP Singapura terpaksa dibatalkan selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan S Iswaran memaklumkan hampir separuh daripada penonton yang hadir merupakan pelancong dari luar negara.
"Ini menunjukkan bukti minat penonton yang begitu mendalam terhadap penganjuran perlumbaan, keunikan dan kepelbagaian elemen di sepanjang acara ini. Saya fikir ini adalah petanda yang sangat baik tentang bagaimana situasi di Singapura bertambah baik dari sebelum ini,” kata S Iswaran.
Tambah beliau sokongan dan kehadiran penonton di acara ini turut mewujudkan kesan positif terhadap ekonomi Singapura.
"Ringkasnya, kami telah mengadakan acara Formula 1 sekali gus memberi impak yang sangat kuat dan Singapura kini kembali ke landasan asal,” katanya.