PDRM siasat lelaki Malaysia ditahan di Hatyai - Polis Thailand

Bernama
Januari 26, 2017 14:21 MYT
PDRM sudah memulakan siasatan awal terhadap seorang lelaki warganegara Malaysia, selepas dia ditahan kerana dipercayai merompak. - fotoBERNAMA
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan awal terhadap seorang lelaki warganegara Malaysia, yang mengaku dirinya ketua 'Geng 04', selepas dia ditahan kerana dipercayai merompak sebuah kedai emas di sini pada 6 Jan lepas.
Ketua Bahagian Siasatan Polis Hatyai Kolonel Surapong Kittitirankul berkata siasatan awal polis Malaysia mendapati lelaki berusia 53 tahun itu menggunakan nama Yee Boon Long yang dipercayai nama palsu.
"Siasatan awal pihak polis Malaysia mendapati nama itu (Ye Boon Long) tiada dalam rekod dan berkemungkinan ia nama palsu. Polis Malaysia juga telah mengambil cap jari suspek," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya lelaki itu akan didakwa di mahkamah bagi kesalahan merompak kedai emas di Jalan Montree, Hatyai pada 6 Jan lepas dan membunuh dua rakyat Thailand di Songkla tiga tahun lepas.
Dalam kejadian 6 Jan lepas, suspek yang bersenjatakan sepucuk pistol merompak kedai emas itu dan melarikan barangan kemas seberat 1.7 kilogram bernilai 2.3 juta Baht (kira-kira RM290,000).
Surapong berkata lelaki itu kini ditahan di Penjara Songkla selepas dipindahkan daripada Penjara Balai Polis Hatyai.
Beliau berkata suspek itu mengakui kepada Polis Thai bahawa dia terlibat dengan sekurang-kurangnya 10 kes rompakan dan bunuh di Malaysia dan Thailand.
Suspek itu mendakwa selepas merompak kedai emas di Butterworth, Pulau Pinang, dia melarikan diri ke Chiangmai menggunakan identiti palsu yang dibelinya pada harga 250,000 Baht (RM32,000).
-- BERNAMA
#Geng 04 #Kolonel Surapong Kittitirankul #PDRM #Songkla #Yee Boon Long