PDI-P rancang failkan kes di Mahkamah Perlembagaan

Agensi
Februari 27, 2024 10:20 MYT
Tiga pasangan calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia (dari kiri) Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar; Prabowo Subianti dan Gibran Rakabuming Raka serta Ganjar Pranowo dan Mahfud MD. – Gambar fail AP
JAKARTA: Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) mahu siasatan legislatif dijalankan berhubung dakwaan berlaku pelanggaran pada Pemilihan Presiden Indonesia, baru-baru ini.
Malah, seorang pegawai kanan parti terbesar dalam Parlimen Indonesia itu berkata, PDI-P merancang untuk memfailkan kes di mahkamah nanti.
Calon PDI-P, Ganjar Pranowo dilaporkan tewas kepada Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto pada pilihan raya 14 Februari lalu berdasarkan keputusan tidak rasmi dan hasil pengiraan undi yang masih berlangsung.
Setiausaha Agung PDI-P, Hasto Kristiyanto mendakwa, pihaknya mendapati berlaku penyalahgunaan kuasa, dari aspek undang-undang hinggalah kepada penggunaan fasiliti negara dalam proses pilihan raya yang berlangsung hampir dua minggu lalu itu.
Beliau, bagaimanapun, tidak memberikan butiran terperinci atau bukti untuk menyokong tuduhan berkenaan.
Setakat ini, pihak Istana Presiden tidak memberi maklum balas kepada permintaan untuk komen berhubung dakwaan terbabit atau perancangan siasatan berkaitan perkara itu.
Walaupun kes pertikaian pilihan raya lazimnya dikendalikan oleh Mahkamah Perlembagaan, Parlimen Indonesia mempunyai kuasa untuk menyiasat dasar kerajaan atau pelaksanaan peraturan tertentu, selain boleh memeriksa tindakan pegawai awam, termasuk Presiden.
Hasto berkata, PDI-P dan penyokong Ganjar yang lain akan memfailkan kes di Mahkamah Perlembagaan berkait dakwaan penyelewengan dalam pilihan raya.
Namun, tidak memberikan sebarang tempoh masa khusus berhubung perkara itu.
Beliau juga mendakwa, siasatan itu bertujuan memelihara demokrasi.
Parlimen Indonesia dijadualkan bersidang pada bulan depan dan bagi membolehkan mana-mana siasatan dilancarkan, ia mesti diluluskan oleh lebih separuh daripada ahli dewan yang hadir pada sesi plenari.
#Indonesia #pilihan raya #PDIP #Prabowo Subianto
;