PDI-P diumumkan pemenang pilihan raya legislatif Indonesia
Astro Awani
Mei 10, 2014 09:19 MYT
Mei 10, 2014 09:19 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia mengesahkan kemenangan parti pembangkang utama, PDI-P dalam pilihan raya legislatif negara itu bulan lepas.
Pengerusinya Husni Kamil Manik mengumumkan parti PDI-P pimpinan Megawati Sukarnoputri itu telah memperoleh sejumlah hampir 19 peratus undi pada pilihan raya 9 April lalu bagi Dewan Perwakilan Rakyat.
PDI-P memperoleh sejumlah 23,681,471 undi, seperti yang diumumkan oleh Husni Kamil Manik.
Keputusan itu sekaligus meneruskan momentum positif bagi Gabenor Jakarta Joko Widodo bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 9 Julai ini.
Menurut penganalisis politik Alimun Hanif, “Melihat kepada proses pilihan raya ini, pilihan raya presiden yang akan datang didominasi oleh dua pesaing utama iaitu Joko Widodo dari PDI-P yang mendapat sokongan dari Parti Kebangkitan Bangsa dan Partai Demokrat serta Probowo Subianto yang mendapat sokongan dari Partai Gerakan Indonesia Raya dan beberapa parti kecil.”.
Sementara itu menduduki tempat kedua ialah Parti Golkar yang meraih sebanyak 15 peratus undi diikuti parti Gerindra sebanyak 12 peartus.
Parti Demokrat yang diterajui Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pula hanya mendapat 10 peratus undi untuk berada di tempat keempat.
“Saya melihat ketidakupayaan Partai Demokrat untuk membentuk pakatan lagi walaupun mendapat sokongan daripada parti lain. Persoalannya sekarang siapakah yang akan dicalonkan oleh SBY, presiden sekarang yang juga pemimpin Partai Demokrat kerana tiada pemimpin yang berkaliber untuk dicalonkan.” ulas Alimun Hanif lagi.
Seramai hampir 125 juta daripada 187 juta pengundi berdaftar membuang undi dalam pilihan raya berkenaan bulan lepas.