PBB unjur ekonomi China berkembang 5.3 peratus tahun ini
Bernama
Mei 17, 2023 04:22 MYT
Mei 17, 2023 04:22 MYT
BEIJING: Laporan "Situasi dan Prospek Ekonomi Dunia Tahun 2023" untuk setengah tahun pertama yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi China sebanyak 5.3 peratus berbanding unjuran sebelum ini, iaitu 4.8 peratus.
Menurut laporan itu, ekonomi sejagat pada tahun ini akan berkembang pada kadar 2.3 peratus meningkat 0.4 mata peratus berbanding unjuran yang dibuat dalam laporan yang dikeluarkan pada bulan Januari.
Petugas jabatan pengawasan ekonomi sejagat di bawah Bahagian Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB, Hamid Rashid, dalam temu bual dengan wartawan Kumpulan Media China (CMG) berkata jualan runcit China pada suku tahun pertama berada kedudukan yang kukuh.
Beliau berkata kedudukan itu melepasi jangkaan dan trend itu kekal sehingga sekarang.
"Serentak itu, prestasi industri perkhidmatan juga amat baik di China, manakala jualan hartanah meningkat semula terutamanya jualan perumahan baharu," katanya.
Tambah beliau, kadar inflasi China lebih rendah berbanding yang tercatat di kebanyakan entiti ekonomi utama yang lain.
"Selain itu, China mempunyai dasar kewangan yang baik. Kesemua ini bermakna pertumbuhan ekonomi negara ini boleh banyak memanfaatkan pelaksanaan dasar monetari dan dasar kewangan yang sangat akomodatif," kata beliau.
Menurut laporan PBB itu, memandangkan kadar inflasi kekal pada paras tinggi, kadar faedah meningkat dan bertambahnya isu-isu yang tidak menentu, prospek pemulihan ekonomi sejagat tetap suram dan berdepan dengan risiko pertumbuhan pada kadar rendah untuk suatu jangka masa yang panjang.
-- BERNAMA