PBB seru hentikan peningkatan ketegangan di Asia Barat
Bernama
Oktober 2, 2024 17:59 MYT
Oktober 2, 2024 17:59 MYT
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk peningkatan ketegangan pada Selasa di Asia Barat, khususnya antara Iran dan Israel, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
"Ini mesti dihentikan. Kita benar-benar memerlukan gencatan senjata,'' katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan terkini di Asia Barat.
"Saya mengutuk perluasan konflik di Asia Barat yang terus meningkat," catat Guterres di platform X.
Sementara itu, dalam satu berita lain juga dari New York, WAM melaporkan Guterres menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan konflik di Lubnan dan merayu agar gencatan senjata segera diadakan.
"Perang menyeluruh mesti dielakkan di Lubnan dalam apa jua keadaan dan kedaulatan serta keutuhan wilayah Lubnan mesti dihormati," kata Guterres dalam satu kenyataan pada Selasa.
Setiausaha Agung turut merayu kepada komuniti antarabangsa untuk segera menyokong permohonan kemanusiaan sebanyak AS$426 juta yang dilancarkan hari ini di Beirut.
"Setiausaha Agung akan meneruskan hubungan diplomatiknya dan wakilnya di lapangan juga akan meneruskan usaha untuk mengurangkan ketegangan," tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA