PBB sambut baik usaha dua negara Korea perbaiki hubungan

Astro Awani
Julai 27, 2021 07:10 MYT
PBB menyambut baik pengumuman Korea Utara dan Korea Selatan untuk memperbaiki hubungan dua hala.
GENEVA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik pengumuman Korea Utara dan Korea Selatan untuk memperbaiki hubungan dua hala.
Menurut PBB dalam satu kenyataan, pemimpin di kedua-dua negara itu bersetuju untuk membina semula kepercayaan dan meningkatkan hubungan.
Korea Utara dan Korea Selatan kini bertukar mesej melalui saluran komunikasi yang sudah tidak aktif sejak lebih setahun lalu.
Langkah positif ini dalam usaha untuk memperbaiki hubungan dan inisiatif ke arah perdamaian isu nuklearnya.
Pegawai perhubungan Korea mengadakan beberapa perbualan telefon termasuk satu talian hotline tentera.
"Setiausaha Agung PBB menyambut baik pengumuman oleh dua negara Korea ini untuk menyambung semula saluran komunikasi pejabat perhubungan di Panmunjom dan sempadan negara itu.
"Ia turut melibatkan penyambungan semula talian hotline tentera.
"Setiausaha Agung PBB menyokong sepenuhnya usaha berterusan pihak-pihak ini ke arah meningkatkan hubungan mereka, perdamaian dan isu nuklear di Semenanjung Korea," kata kenyataan itu.
Usaha ini juga dijangka dapat mengelak sebarang pertembungan di sepanjang sempadan termasuk laut.
#PBB #Korea Utara #Korea Selatan #Hubungan dua hala #Farhan Haq #konflik #Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Panmunjom
;