PBB rayu penduduk awam terperangkap dalam perang Palestin-Israel dilindungi
Astro Awani
Oktober 31, 2023 07:50 MYT
Oktober 31, 2023 07:50 MYT
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengulangi rayuan supaya penduduk awam yang terperangkap dalam perang Palestin-Israel dilindungi.
Beliau juga menekankan kepentingan semua pihak melaksanakan langkah-langkah perlu bagi tujuan itu.
Kenyataan Guterres disampaikan jurucakapnya, Stephane Dujarric.
"Setiausaha Agung sangat bimbang dengan pertempuran yang semakin meningkat dalam konflik antara Israel dan Hamas serta beberapa kumpulan bersenjata lain di Gaza.
"Ini termasuk perluasan operasi oleh tentera Israel, serangan udara yang berterusan. Perlindungan ke atas penduduk awam di kedua-dua pihak adalah penting dan mesti dihormati sepanjang masa," katanya.
Menurut beliau, undang-undang kemanusiaan adalah peraturan jelas yang perlu dipatuhi dan ia bukan sekadar peraturan yang terpilih.