PBB rancang laluan baharu selepas bantuan jeti terhenti di Gaza

Astro Awani
Mei 21, 2024 07:45 MYT
Beberapa trak membawa bantuan kemanusiaan dari UAE dilihat melintasi Jeti Trident sebelum memasuki pantai di Gaza. - Foto AP
GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merancang laluan baharu untuk mengagihkan bantuan daripada jeti binaan Amerika Syarikat di Gaza.
Ini berikutan ramai penduduk Palestin yang terdesak memerlukan bantuan memintas trak dan menyebabkan penghantaran terhenti secara berterusan untuk hari ketiga, pada Selasa.
Jeti terapung sementara itu bertujuan untuk membantu meringankan krisis kemanusiaan di Gaza.
Bagaimanapun, pekerja bantuan memaklumkan bahawa hanya penghantaran melalui sempadan darat boleh memastikan bantuan pada skala yang diperlukan.
Operasi di jeti bermula pada Jumaat dan PBB berkata, 10 trak muatan bantuan makanan diangkut dari jeti oleh kontraktor PBB dan diterima di gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Deir el Balah, Gaza.
Tetapi pada Sabtu, hanya lima lori yang berjaya sampai ke gudang selepas 11 yang lain dipintas.
Pengagihan kemudian dihentikan sementara pasukan logistik merancang laluan baharu dan penyelarasan penghantaran dalam usaha menghalang lebih banyak bantuan dipintas.
Menurut jurucakap WFP di Kaherah, Abeer Etefa, misi itu dirancang menggunakan laluan baharu untuk mengelak orang ramai.
#bantuan #PBB #laluan baharu #Gaza
;