PBB pindahkan bantuan bertimbun di jeti Gaza - WFP
Bernama
Julai 1, 2024 09:00 MYT
Julai 1, 2024 09:00 MYT
KAHERAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang memindahkan ribuan tan bekalan kemanusiaan dari jeti yang dibina oleh Amerika Syarikat (AS) di luar pantai Semenanjung Gaza selepas pelabuhan sementara itu digantung operasinya kerana cuaca buruk, kata seorang pegawai bantuan pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP), Abeer Etefa memaklumkan pekerja mula mengangkut bantuan bertimbun kebanyakannya makanan ke gudang pada Jumaat. Bantuan itu akan diagihkan kemudian.
Menurut Etefa, operasi pemindahan masih berlangsung dan penyelesaiannya bergantung kepada "kelancaran pergerakan" di dalam wilayah terkepung itu sambil berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan jeti berkenaan.
Pelabuhan itu telah beberapa kali dibongkar kerana cuaca buruk.
Jeti bernilai US$300 juta itu mula beroperasi pada pertengahan Mei untuk berfungsi sebagai hab penghantaran bantuan yang sangat diperlukan ke Gaza.
Pada Jumaat, Pentagon berkata tentera AS sedang membongkar sementara jeti itu akibat laut bergelora dan angin kencang. Tiada tarikh diberikan untuk memasang semula kemudahan itu.
-- BERNAMA