PBB lulus resolusi Majlis Keselamatan pertimbang keanggotaan penuh Palestin

Madiha Abdullah
Mei 10, 2024 23:41 MYT
PBB lulus resolusi mengiktiraf Palestin sebagai negara anggota penuh, dengan 143 negara mengundi menyokong, 9 menentang dan 25 berkecuali. - Gambar fail/BERNAMA
NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Jumaat meluluskan resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin.
Resolusi itu diluluskan dengan 143 negara mengundi menyokong, sembilan mengundi menentang dan 25 berkecuali.
Draf resolusi itu, yang diperkenalkan oleh Emiriah Arab Bersatu, menyatakan "Palestin layak untuk menjadi ahli dalam PBB mengikut Perkara 4 Piagam PBB dan harus diterima masuk sebagai ahli".
Terdahulu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata apa yang dimahukan mereka hanya untuk melihat hak mereka ditegakkan dan undang-undang antarabangsa terpakai untuk mereka.
"Ketika kempen untuk mengusir dan membinasakan rakyat Palestin mencapai tahap paling tinggi, anda boleh membuat keputusan untuk berpegang teguh pada hak sesebuah negara untuk hidup dalam kebebasan dan maruah di atas tanah asalnya, untuk berdiri dengan aman, yang memerlukan pengiktirafan hak, bukan penafian berterusan.
"Atau anda boleh berdiri di bahagian lain dalam sejarah atau yang paling teruk, menghalang laluan keamanan.
"Tuan Presiden, saya telah duduk di sini, di sebelah gerakan pembebasan, yang satu demi satu akhirnya mengambil tempat yang sepatutnya di dalam dewan ini.
"Dan sekali lagi tanpa ragu-ragu, harinya akan tiba di mana Palestin akan mengambil tempat yang sepatutnya dalam kalangan negara-negara bebas," katanya.
Walaupun Perhimpunan Agung tidak boleh memberikan keahlian penuh PBB, resolusi itu akan memberi Palestin beberapa hak dan keistimewaan tambahan mulai September 2024, seperti kerusi dalam kalangan anggota PBB di dewan perhimpunan, namun ia tidak akan diberi hak mengundi.
#Palestin #PBB #resolusi #anggota penuh
;