PBB komited hadkan kenaikan suhu global

Astro Awani
Februari 23, 2021 07:08 MYT
Guterres berkata isu perubahan iklim ini adalah isu penentu masa depan dan ia akan beri impak kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa. - REUTERS
PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) komited untuk menghadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius menjelang akhir abad ini.
Menurut Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres isu perubahan iklim ini adalah isu penentu masa depan dan ia akan beri impak kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
"Perubahan iklim adalah isu besar, dekad lalu kita saksikan pemanasan global berlaku. Paras gas karbon dioksida adalah tinggi dan kini kebakaran hutan, banjir, taufan dan kemarau merupakan perkara biasa.
"Ia bukan sahaja merosakkan persekitaran, tapi juga melemahkan sistem politik, ekonomi dan sosial. Dan kita perlu hadkan kenaikan suhu global hingga 1.5 darjah Celsius pada akhir abad ini.
"Dan tugas kita, kita perlu melindungi rakyat dan masyarakat yang kini berdepan gangguan iklim," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri UK, Boris Johnson meminta PBB untuk bertindak lebih pantas terhadap membendung isu ini.
Perubahan iklim adalah masalah geopolitik sama seperti isu alam sekitar. Dan sekiranya badan ini berjaya mengekalkan keamanan dan keselamatan di seluruh dunia, maka pihaknya harus bekerjasama dengan seluruh agensi, organisasi PBB dan beri tindak balas yang pantas dan berkesan," kata Johnson.
#iklim #PBB #suhu global #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Boris Johnson #keselamatan #Antonio Guterres
;