PBB: Kelaparan sebagai senjata adalah jenayah perang di Gaza

Bernama
Mac 8, 2025 19:15 MYT
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB di Palestin pada Jumaat menegaskan bahawa Israel mempunyai kewajipan undang-undang untuk memastikan penyediaan keperluan asas kepada penduduk Palestin yang berada di bawah kawalannya. - Gambar/ Reuters
GAZA: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Palestin pada Jumaat menegaskan bahawa Israel mempunyai kewajipan undang-undang untuk memastikan penyediaan keperluan asas kepada penduduk Palestin yang berada di bawah kawalannya, lapor Emirates News Agency (WAM).
"Ini termasuk makanan, air bersih, tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi. Sebarang sekatan terhadap kemasukan keperluan asas bagi orang awam boleh dianggap sebagai hukuman kolektif. Penggunaan kelaparan sebagai senjata perang adalah jenayah perang," menurut kenyataan pejabat itu.
"Di Gaza, sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Jan, tentera Israel dilaporkan telah membunuh 58 rakyat Palestin, termasuk 10 kanak-kanak dan tiga wanita, kebanyakannya di kawasan yang ditetapkan sebagai 'zon larangan' oleh Israel seperti Koridor Netzarim dan Philadelphi, serta timur Rafah, Khan Younis dan Beit Hanun.
"Ramai daripada mereka yang terbunuh dilaporkan cuba memeriksa keadaan kediaman mereka. Menyasarkan rakyat Palestin yang tidak terlibat secara aktif dalam permusuhan adalah jenayah perang, tanpa mengira sekatan pergerakan yang dikenakan oleh Israel," tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Gaza #jenayah perang #Israel #PBB
;