PBB isytihar 26 Januari hari tenaga bersih antarabangsa - IRENA
Bernama
Ogos 28, 2023 16:54 MYT
Ogos 28, 2023 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengisytiharkan 26 Januari sebagai Hari Tenaga Bersih Antarabangsa bermula 2024, kata Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Baharu (RE) Antarabangsa (IRENA) Francesco La Camera.
Semasa Persidangan Peralihan Tenaga (ET) 2023 anjuran Tenaga Nasional Bhd (TNB) di sini pada Isnin, La Camera berkata tarikh yang dipilih itu juga merupakan hari ulang tahun penubuhan agensi itu pada 2009.
"Ini juga tarikh IRENA ditubuhkan," katanya semasa sesi pleno bertajuk 'Closing the Renewable Energy Loop: Bridging The Net Zero Transition Through Circular Economy Strategies, di sini.
IRENA dalam satu kenyataan pada 25 Ogos berkata 193 negara anggota UNGA mengakui peranan utama agensi itu dalam mempercepat peralihan ke tenaga boleh baharu global.
Kenyataan itu menyebut bahawa menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai dari 30 Nov hingga 12 Dis, keputusan ini menyerlahkan mengenai perlunya pendekatan bersatu global terhadap isu tenaga.
"Selaras dengan senario 1.5 celsius IRENA dan agenda COP28, resolusi PBB menekankan keperluan untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu dan bersih menjelang 2030 ke arah peralihan tenaga yang adil dan mampan.
"Unjuran Peralihan Tenaga Dunia IRENA mendapati dunia memerlukan tiga kali ganda penambahan kapasiti kuasa boleh baharu setahun daripada kira-kira 300 gigawatt (GW) kepada 1000 GW secara purata sehingga 2030, di seluruh dunia," menurut kenyataan itu.
Malaysia menetapkan sasaran untuk meningkatkan gabungan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang 2050, dan pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar paling awal menjelang 2050.
Menteri Sumber Asli, Tenaga dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata untuk mencapai sasaran gabungan TBB ini, perbelanjaan RM637 bilion diperlukan sehingga 2050, termasuk pelaburan untuk sumber penjanaan TBB, menaik taraf infrastruktur grid dan integrasi sistem penyimpanan tenaga.
Persidangan ET 2023, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur merupakan pertemuan terbesar di rantau ini untuk peralihan tenaga, meninjau ke hadapan transformasi merentas industri untuk merealisasikan sifar bersih
Persidangan dua hari yang bermula pada Isnin itu menyatukan pemimpin tempatan dan antarabangsa, pakar, pemain industri, penggubal dasar dan komuniti dari seluruh rantaian nilai untuk merumuskan penyelesaian dan strategi, merangsang perubahan bermakna untuk mempercepat peralihan tenaga dan membentuk kerjasama.
-- BERNAMA