PBB gesa siasatan terhadap serangan Israel berhampiran hospital di Beirut

Bernama
Oktober 23, 2024 16:11 MYT
Keadaan kawasan berdekatan Hospital Universiti Rafik Hariri di Beirut selepas serangan rejim zionis, 22 Oktober 2024. -Reuters
NEW YORK: Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa siasatan segera dilakukan terhadap serangan rejim Israel berhampiran sebuah hospital di Beirut, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Ringkasan AI
  • Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menggesa siasatan segera terhadap serangan rejim Israel berhampiran Hospital Universiti Rafiq Hariri di selatan Beirut. Serangan ini dilaporkan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 60 cedera.
  • Turk menekankan kepatuhan kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa berkenaan perlindungan orang awam. Beliau menyatakan rasa ngerinya terhadap serangan yang berlaku di kawasan perumahan padat penduduk.
  • Serangan besar-besaran oleh rejim Zionis pada Isnin malam menyasarkan kawasan kediaman di selatan Beirut, menyebabkan ratusan orang terbunuh dan ribuan cedera, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Volker Turk pada Selasa berkata beliau "ngeri" dengan serangan ke atas sebuah hospital di selatan Beirut pada Isnin dan menggesa agar "siasatan segera dan lengkap" dilakukan berhubung insiden itu.
"Saya berasa ngeri dengan serangan Israel berhampiran Hospital Universiti Rafiq Hariri di kawasan perumahan padat penduduk di Beirut, yang dilaporkan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh, termasuk empat kanak-kanak dan mencederakan 60 yang lain," kata pegawai PBB itu dalam satu kenyataan.
Turk menegaskan kepatuhan kepada prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa berkenaan perlindungan orang awam.
Pada Isnin malam, rejim Zionis sekali lagi mengumumkan permulaan serangan besar-besaran terhadap orang awam di selatan Beirut, yang dibedil berulang kali.
Pesawat perang Zionis terus menyasarkan kawasan kediaman, yang menurut Kementerian Kesihatan Lubnan telah menyebabkan ratusan orang terbunuh dan ribuan yang lain cedera.
-- BERNAMA
#Volker Turk #rejim Zionis #Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia #Hospital Universiti Rafiq Hariri
;