PBB gesa semua pihak perbaharui perjanjian bijirin Ukraine
Bernama
Oktober 29, 2022 13:39 MYT
Oktober 29, 2022 13:39 MYT
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menggesa semua pihak supaya melanjutkan perjanjian yang diurus Turkiye dan badan dunia itu untuk membolehkan eksport bijirin dan baja dari Ukraine, termasuk mengatasi sebarang halangan ke atas eksport bijirin dan baja Rusia.
"Kami menggesa semua pihak untuk menjayakan segala usaha untuk memperbaharui Inisiatif Bijirin Laut Hitam dan melaksanakan kedua-dua perjanjian sepenuhnya," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan jurucakap PBB Stephane Dujarric.
"Jika makanan dan baja tidak sampai ke pasaran global sekarang, petani tidak akan mendapat bekalan baja mengikut jadual dan pada harga yang mereka mampu beli untuk musim penanaman yang seterusnya boleh menjejaskan pengeluaran makanan dan harga makanan di seluruh dunia pada 2023 dan 2024. Krisis kemampuan sekarang akan bertukar menjadi krisis ketersediaan."
Beliau berkata "kerajaan, syarikat perkapalan, peniaga bijirin dan baja serta petani ... kini mahukan petunjuk jelas mengenai masa depan."
Perjanjian itu yang pada mulanya ditandatangani untuk 120 hari, akan tamat pada 19 November. PBB sedang berusaha untuk melanjutkannya dan mengembangkan perjanjian untuk tempoh setahun.
Perjanjian bijirin boleh dilanjutkan secara automatik selepas 19 November jika tiada pihak membantah, kata Dujarric.
Pihak berkuasa Rusia mengadu bahawa walaupun ada perjanjian itu, sekatan Barat "secara tidak langsung" menghalang eksport bijirin dan baja negara itu.
Menerusi perjanjian itu, lebih sembilan juta tan bijirin dan produk makanan lain telah dieksport dari Ukraine, menurut PBB.
Penyambungan semula eksport telah menyumbang kepada penurunan harga gandum dan komoditi lain dengan ketara, tambah Dujarric.
Pengurangan harga makanan ruji secara tidak langsung telah menyelamatkan 100 juta orang daripada paras kemiskinan tegar, menurut anggaran berdasarkan model Bank Dunia.
Turkiye, PBB, Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian penting pada 22 Julai untuk membuka semula tiga pelabuhan Ukraine -- Odesa, Chornomorsk dan Yuzhny -- untuk eksprt bijirin yang telah tersekat selama berbulan-bulan akibat perang Rusia-Ukraine, bagi menangani krisis makanan global. krisis.
-- BERNAMA