PBB gesa gencatan senjata segera di Gaza

Agensi
Januari 16, 2024 02:40 MYT
Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal susulan tindakan pengeboman Israel di Semenanjung Gaza mengintai melalui pagar sempadan dengan Mesir, di Rafah, selatan Gaza, 14 Jan 2024. (Foto AP)
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mendesak gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, ketika mana pertempuran antara Israel dan pejuang Hamas berlarutan lebih 100 hari.
Menerusi satu taklimat di New York, Guterres berkata pada Isnin, gencatan senjata kemanusiaan perlu disegerakan bagi memastikan bantuan mencukupi sampai kepada mereka yang memerlukan.
Malah, katanya, ia juga bagi memudahkan usaha pembebasan tebusan.
Menurutnya, keadaan di Gaza ketika ini sangat menyedihkan hingga tiada kata-kata yang mampu menggambarkan keadaan menyayat hati itu.
"Tiada apa yang boleh mewajarkan hukuman kolektif ke atas rakyat Palestin. Situasi kemanusiaan di Gaza tidak terucap dengan kata-kata. Tiada tempat dan tiada siapa yang selamat.
"Walaupun terdapat langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza, bantuan yang menyelamatkan nyawa tidak diberikan kepada mereka yang berbulan-bulan menderita akibat serangan tanpa henti Israel," kata Guterres.
Peperangan yang dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas ke atas Israel mencipta malapetaka kemanusiaan untuk 2.4 juta penduduk di wilayah Palestin yang dikepung.
Rejim Zionis melancarkan kempen ketenteraan tanpa henti sejak 7 Okt 2023, yang membunuh sekurang-kurangnya 24,100 di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
PBB berkata, pertempuran yang berlarutan lebih tiga bulan menyebabkan kira-kira 85 peratus penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal, bersesak-sesak ke tempat perlindungan dan bergelut untuk mendapatkan makanan, air, bahan api dan rawatan perubatan.
Dengan akses bantuan yang sukar sampai kepada pihak memerlukan, penduduk Palestin di Gaza kini berdepan kebuluran.
Dalam pada itu, Guterres berkata, majoriti kakitangan PBB Palestin meninggalkan rumah mereka dan 152 kakitangan terbunuh sejak 7 Okt lalu.
Ia adalah kehilangan nyawa terbesar dalam sejarah badan dunia itu.
#PBB #Gaza #gencatan senjata #Israel