PBB gesa cari penyelesaian terbaik tangani isu pelarian dan migran

Bernama
Mei 10, 2016 13:17 MYT
Lebih 46,000 migran pula terbunuh ketika dalam perjalanan untuk berhijrah sejak tahun 2000. Pada 2014 dan 2015 sahaja jumlah yang terbunuh melebihi 10,400 orang. - Gambar fail
LAPORAN Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pergerakan besar-besaran pelarian dan migran sedang berlaku yang memerlukan langkah segera bagi menangani isu itu terutamanya di peringkat antarabangsa, lapor agensi berita China Xinhua.
Laporan dikeluarkan memandangkan fenomena global itu semakin serius dengan peningkatan bilangan migran yang kehilangan nyawa ketika dalam pelarian di tambah lagi dengan sikap prasangka serta retorik segelintir masyarakat untuk menerima kehadiran mereka.
Bertajuk "In Safety and Dignity: Addressing Large Movements of Refugees and Migrants", laporan itu menyatakan pergerakan besar migran dan pelarian dilihat akan berterusan serta meningkat yang boleh menyumbang kepada berlakunya konflik keganasan, kemiskinan, perubahan iklim, bencana dan kemerosotan alam sekitar.
Laporan mencadangkan masyarakat antarabangsa membantu menangani masalah itu di peringkat akar umbi selain melindungi mereka yang dalam persinggahan serta mengatasi sikap prasangka terhadap migran dan pelarian.
Menurut statistik PBB, kira-kira 60 juta orang menjadi pelarian dan separuh daripadanya adalah kanak-kanak. Pada 2015, jumlah pelarian dan migran mencecah 224 juta peningkatan sebanyak 41 peratus daripada tahun 2000.
Lebih 46,000 migran pula terbunuh ketika dalam perjalanan untuk berhijrah sejak tahun 2000. Pada 2014 dan 2015 sahaja jumlah yang terbunuh melebihi 10,400 orang.
Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sidang pleno peringkat tinggi mengenai isu itu pada 19 September.
Dalam laporan itu Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon turut menggesa negara anggota untuk terima pakai perkongsian tangunggjawab berhubung masalah pelarian dan migran termasuk berkaitan isu keselamatan.
Menurut PBB 90 peratus pelarian di dunia adalah dari negara membangun. Separuh pelarian datang dari 10 negara membangun dan dikesan berada di sebahagian wilayah di Afrika termasuk pelarian dan migran dari empat negara mundur.
Ban menjangkakan mesyuarat peringkat tinggi mencari jalan penyelesaian berhubung cabaran dalam menangani isu pelarian dan migran selain menuntut kerjasama para pemimpin dunia.
#isu pelarian #migran #PBB #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #UN
;