PBB digesa selesai krisis Syria, pelarian minta dihantar pulang
Agensi
Jun 20, 2020 05:30 MYT
Jun 20, 2020 05:30 MYT
KETIKA dunia menyambut Hari Pelarian Sedunia pada Sabtu, pelarian Syria di Lubnan meminta bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), supaya mencari jalan keluar menyelesaikan krisis Syria.
Antara lain, mereka juga meminta PBB menghantar mereka kembali ke negara asal.
Di bandar Bar Elias berhampiran sempadan Syria, pelarian di kem Al-Hindi hidup dalam keadaan yang serba daif dan kekurangan bekalan makanan.
Kem tersebut menempatkan 450 pelarian Syria dari wilayah Homs, Damsyik dan Quneitra, yang semuanya dibahagikan ke dalam 68 buah khemah.
Kemasukan pelarian Syria ke Lubnan memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan infrastrukturnya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Lubnan mengalami kekurangan pertumbuhan ekonomi, pengangguran yang tinggi dan penurunan aliran masuk mata wang dari luar negara.
Dalam pada itu, Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian di Lubnan, Lisa Abou Khaled meminta masyarakat antarabangsa dan negara penderma untuk terus menyokong Lubnan dan para pelarian.