PBB desak tindakan terhadap cuaca panas melampau

Astro Awani
Julai 26, 2024 00:00 MYT
Cuaca panas melampau dianggarkan membunuh hampir setengah juta orang setahun dan itu kira-kira 30 kali ganda lebih banyak daripada taufan tropika. - Gambar hiasan
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, mendesak negara-negara menangani epidemik cuaca panas melampau, yang berpunca daripada perubahan iklim.
Desakan dibuat selepas dunia mencatat rekod hari paling panas.
Menurut Guterres, cuaca panas melampau sudah menjadi keadaan norma yang baharu.
Justeru, dunia mesti bangkit menangani cabaran suhu yang makin meningkat.
"Cuaca panas melampau dianggarkan membunuh hampir setengah juta orang setahun dan itu kira-kira 30 kali ganda lebih banyak daripada taufan tropika.
"Kita tahu apa yang menyebabkannya; perubahan iklim yang didorong oleh bahan api fosil dan yang disebabkan oleh manusia. Dan kita tahu ia akan menjadi lebih teruk.
"Tetapi berita baiknya ialah terdapat penyelesaian. Berita baiknya ialah kita boleh menyelamatkan nyawa dan kita boleh mengehadkan kesannya," katanya.
Perubahan iklim mencetus gelombang panas yang lebih kerap dan lama di seluruh dunia.
Dilaporkan tahun ini, 1,300 jemaah haji meninggal dunia akibat panas melampau.
Sementara di Afrika dan Asia, penutupan sekolah menjejaskan 80 juta kanak-kanak.
Sejak Jun 2023, setiap bulan direkodkan sebagai hari paling panas di muka bumi.
Menjelang tahun 2050, beberapa penyelidik menganggarkan sebanyak 700 peratus peningkatan peringkat global dalam bilangan golongan miskin bandar yang hidup dalam keadaan kepanasan melampau.
Ini adalah kali pertama PBB mengeluarkan seruan tindakan global terhadap kepanasan melampau.
#cuaca panas #PBB #Antonio Guterres #perubahan iklim