PBB desak tentera bebaskan Perdana Menteri Sudan
Astro Awani
Oktober 26, 2021 06:57 MYT
Oktober 26, 2021 06:57 MYT
PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengulangi desakan supaya tentera segera membebaskan Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok serta barisan pemimpin politik yang ditahan.
Setiausaha Agungnya Antonio Guterres turut mendesak semua pihak berkepentingan kekal bertenang.
"Saya sekali lagi mengecam rampasan kuasa di Sudan, dan saya mendesak semua pihak bertenang. Perdana Menteri dan pemimpin lain yang ditahan secara tidak sah perlu dibebaskan secepat mungkin.
"Benar Sudan sudah mencapai beberapa kejayaan penting, yang tidak boleh diundur. Justeru, adalah penting semua institusi seperti yang diiktiraf dalam perlembagaan, dikembalikan semula.
"Kerjasama awam-tentera adalah kritikal. Ia perlu diperkukuh hingga ke tahap baharu, dan rakyat Sudan sudah menunjukkan mereka sedia untuk melaksanakan reformasi demi demokrasi," kata Guterres di New York pada Selasa.
Majlis Keselamatan PBB dijadual mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan situasi di Sudan.
Guterres turut mendesak kuasa dunia untuk bersatu dan bertindak menerusi panji badan dunia itu bagi menangani episod rampasan kuasa yang berlaku.