PBB desak Rusia kembali ke Perjanjian Bijirin Laut Hitam

Astro Awani
Julai 24, 2023 07:20 MYT
Menurut Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, golongan paling rentan akan terkesan dengan penamatan inisiatif itu. - Foto fail/AP
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Rusia melaksanakan semula Perjanjian Bijirin Laut Hitam.
Menurut Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres, golongan paling rentan akan terkesan dengan penamatan inisiatif itu.
Menurut Guterres, ini termasuk risiko berlakunya peningkatan harga makanan global.
"Dengan penamatan Inisiatif Laut Hitam, golongan paling rentan akan membayar harga yang tinggi. Ketika harga makanan meningkat, ia memberi kesan kepada semua.
"Kami sudah melihat kesan negatif terhadap harga jagung dan gandum global yang menjejaskan semua pihak. Tetapi situasi ini adalah lebih sukar kepada negara-negara rentan yang cuba membekalkan makanan kepada rakyat mereka," katanya.
Rusia menarik diri daripada perjanjian itu minggu lalu susulan dakwaan tuntutan supaya eksport makanan dan baja Kremlin dipermudahkan tidak dipenuhi.
Moscow juga mendakwa di bawah inisiatif itu, bekalan bijirin Ukraine tidak sampai ke negara-negara paling miskin.
Harga bekalan gandum dan jagung naik mendadak sejak Rusia menarik diri daripada inisiatif itu dan menyerang pelabuhan untuk eksport bekalan makanan Ukraine.
Sebelum ini Guterres menulis kepada Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan perjanjian itu.
PBB mencadangkan Rusia melanjutkan inisiatif itu, dengan menghadkan bilangan kapal yang berlabuh di Ukraine.
Perjanjian Bijirin Laut Hitam ditaja PBB dan Turki untuk menangani krisis makanan global susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022.
#Antonio Guterres #PBB #Perjanjian Bijirin Laut Hitam #Vladimir Putin
;