PBB desak Myanmar lindungi hak Rohingya

AFP
November 22, 2014 12:29 MYT
Komuniti Rohingya di Rakhine dipaksa mengaku identiti diri sebagai Bengali untuk memohon kewarganegaraan. - Gambar fail
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mendesak Myanmar memberikan taraf warganegara kepada komuniti minoriti Muslim Rohingya. Perkembangan tersebut memberi tekanan kepada Yangon untuk mempertimbang semula perancangan identiti yang kontroversi.
Langkah itu merupakan persetujuan yang dicapai bersama dalam jawatankuasa perhimpunan agung berikutan perbalahan dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Resolusi tersebut menyatakan perhatian serius terhadap nasib komuniti Rohingya di negeri Rakhine. Di situ, 140,000 orang hidup dalam kem-kem yang sesak selepas berlaku keganasan antara penganut Buddha dan Islam pada tahun 2012.
Dalam sebuah perancangan yang disokong kerajaan, komuniti Rohingya dipaksa mengaku identiti diri sebagai Bengali untuk memohon kewarganegaraan, iaitu suatu perkara yang dianggap menghina komuniti mereka. Mereka yang tidak mahu berbuat demikian akan dipaksa untuk tinggal di dalam kem.
Banyak pihak dalam kerajaan Myanmar memandang Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh, namun komuniti tersebut tetap dengan pendirian bahawa mereka mempunyai susur galur keturunan di Myanmar.
Resolusi yang dibawa PBB itu mendesak kerajaan Myanmar melindungi hak semua rakyat di Rakhine. Ini termasuk memberi akses kewarganegaraan yang saksama ke atas minoriti Rohingya, membenarkan pengenalan diri dan memastikan mereka mendapat akses bantuan yang sewajarnya.
#hak #Myanmar #PBB #Rohingya #warganegara
;